Berita

Jangan pandang ringan arahan PKP – KM P. Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengingatkan para peniaga dan orang awam di negeri ini supaya tidak memandang ringan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pihak berkuasa termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang masih berdegil.

“Bersabarlah untuk tempoh ini agar negara dan negeri kita kembali kepada keadaan sedia kala,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Sehingga semalam, katanya, polis telah menahan 158 orang awam yang ingkar arahan PKP, sementara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula telah mengarahkan penutupan bahagian pasar Kompleks Sri Aman di Relau berkuat kuasa semalam.

Keputusan penutupan itu diambil ekoran kegagalan pengusaha dan pengunjung mengamalkan langkah penjarakan sosial; tidak mengawal bilangan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa dan tidak menyediakan cecair pembasmi kuman.

MBPP juga telah mengarahkan semua pengusaha gerai di luar kawasan Pasar Jelutong untuk memberhentikan perniagaan mulai 30 Mac. 

“Sebagai makluman, pelbagai pendekatan telah diambil oleh MBPP termasuk pendidikan awam dan lain-lain sebelum mengeluarkan notis amaran sehingga arahan penutupan.

“Arahan penutupan terpaksa diambil oleh pihak berkuasa berkaitan ekoran ketidakpatuhan PKP yang dilaksanakan,” katanya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang. – Roketkini.