Berita

PH gesa kerajaan naikkan bayaran subsidi upah kepada RM1,200

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan adalah antara sektor yang paling terjejas teruk akibat daripada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ada antara pengusaha PKS yang hampir gulung tikar, sekali gus berisiko mengambil pendekatan membuang pekerja.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kerajaan supaya menaikkan kadar bayaran di bawah Program Subsidi Upah kepada RM1,200 berbanding RM600 yang ditetapkan sebelum ini, bagi melindungi pekerja serta majikan.

Kata gabungan itu, kadar baharu tersebut selaras dengan kadar gaji minimum negara iaitu sebanyak RM1,200. 

“Langkah ini bukan sahaja akan membantu pekerja tetapi juga PKS dengan meringankan beban bayaran gaji serta membantu mengelakkan pekerja dibuang kerja. 

“Jumlah lebih besar ini selari dengan usaha yang dilaksana di beberapa negara lain termasuk Singapura, United Kingdom dan Australia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut PH, PKS memainkan peranan yang penting dalam menyediakan tujuh dari 10 pekerjaan di Malaysia serta membantu menjana pendapatan bagi kerajaan melalui pembayaran cukai korporat. 

“Maka bantuan tambahan amat diperlukan bukan sahaja demi membela kebajikan rakyat, tetapi juga nasib PKS,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, kerajaan memperkenalkan Program Subsidi Upah bernilai RM5.9 bilion di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Menerusi program tersebut majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak 1 Januari lalu boleh membuat tuntutan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Majikan boleh memohon bantuan RM600 sebulan selama tiga bulan untuk setiap pekerja berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Syarat yang ditetapkan adalah majikan tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji dan mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan. – Roketkini.com