Berita

Saranan ‘tiru suara Doraemon’, ‘bersolek di rumah’ undang reaksi warganet

Pengguna media sosial hari ini menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap saranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada keluarga terutamanya wanita yang terkesan dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian terbabit dalam satu hebahan di media sosial rasminya, antara lain mencadangkan isteri supaya tidak berleter, sebaliknya meniru suara watak komik, Doraemon bagi memujuk pasangan dan mengelakkan terjadinya pergaduhan rumah tangga. 

Malah, KPWKM yang diterajui pemimpin Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Rina Harun itu dalam hebahan yang sama turut menggesa wanita yang terpaksa bekerja dari rumah supaya berhias seperti hendak ke pejabat termasuk mengenakan solekan di wajah. 

Seorang pengguna Twitter dengan nama Nabihah Hamid berkata, banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh KPWKM berbanding mengeluarkan cadangan seperti itu.

Malah beliau percaya, jika Hannah Yeoh masih berada dalam kementerian yang pernah diterajui Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail itu, beliau akan lebih proaktif menangani masalah yang berbangkit. 

Pengguna Twitter dengan nama Dr Lyana Khairuddin pula mencadangkan supaya KPWKM memberi lebih perhatian kepada isu keganasan rumah tangga yang berlaku sewaktu PKP.

“Tak perlu lah poster tentang berhias dan teguran bernada Doraemon, (lebih baik) selamatkan anak-anak dan wanita terutamanya dari keganasan rumah tangga,” ujarnya. 

Penguatkuasaan PKP dilanjutkan sehingga 14 April sebagai usaha membendung rantaian penularan Covid-19 di negara ini. – Roketkini.com