Berita, Rencana

Segerakan penubuhan agensi kanak-kanak – Hannah Yeoh

Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh pada 9 April 2020:

Pengalaman PKP dan Covid-19 ini merupakan bukti terbaik bahawa Agensi Kanak-Kanak ini bukan lagi dianggap sekadar pilihan namun ia harus disegerakan

Ketika kami berada di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bermula 2018 sehingga Februari 2020, semua usaha tertumpu untuk menubuhkan agensi kanak-kanak. 

Kami mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibebani dengan tugas yang terlalu banyak dan tiada kapasiti mengurus dengan berkesan pelbagai jenis klien merangkumi isu kebajikan, kanak-kanak, OKU, warga emas dan gelandangan.

Satu kajian yang lengkap telahpun dijalankan bagi mengenalpasti beban tugas JKM dan perbincangan dibuat untuk mencari langkah terpantas menubuhkan Agensi Kanak-Kanak. 

Kami juga mendapati Pelindung Kanak-Kanak dan Pegawai Psikologi yang sedia ada bekerja melebihi kemampuan mereka untuk membuat tindakan susulan ke atas kes-kes melibatkan kanak-kanak.

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dikuatkuasakan, JKM diberikan tugas tambahan mengagihkan bantuan makanan ke kawasan terjejas, mengedarkan makanan yang didermakan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan mengawasi Pusat Kuarantin. 

Apabila JKM dipertanggungjawabkan ketika krisis negara seperti ini, kesemua tenaga kerja terpaksa dikerahkan termasuklah bagi mengedar makanan dan tidak terkecuali Pelindung Kanak-Kanak. 

Ini bermakna tugas untuk menyelamatkan kanak-kanak dan perkhidmatan yang berkaitan turut terjejas. 

PKP telah membawa sekali pelbagai kesan dan tidak terkecuali dalam soal penjagaan kanak-kanak bagi pekerja di barisan hadapan, ibu bapa yang dikuarantin, kelangsungan operasi TASKA, tindakan susulan melibatkan kes kanak-kanak yang didera dan kembali ke pangkuan keluarga, keganasan rumahtangga, memberi makan kepada mereka serta pelbagai isu lain. 

Kita telah memasuki minggu ketiga PKP dan sehingga hari ini kita belum mendengar samada daripada Menteri KPWKM atau Timbalannya mengenai perkara ini selain mereka hanya mempromosi #WanitaCegahCovid19 sahaja.

Saya menggesa Menteri dan Timbalannya untuk memastikan:

(i) Perkhidmatan asas melibatkan kanak-kanak diberi keutamaan oleh JKM kerana kebanyakan kes keganasan terhadap kanak-kanak boleh membawa maut jika diabaikan; dan

(ii) Pelindung Kanak-Kanak dan Pegawai Psikologi masing-masing mesti dikecualikan serta-merta daripada tugas tambahan yang dikenakan ke atas mereka.

30% kanak-kanak di Malaysia wajib kita lindungi dengan bersungguh-sungguh kerana setiap hari mereka terus terdedah dengan pelbagai jenis bahaya (bukan hanya Covid-19!). 

Saya benar-benar berharap semua perbincangan dan perancangan untuk penubuhan Agensi Kanak-kanak tidak akan ditangguhkan. 

Pengalaman PKP dan Covid-19 ini merupakan bukti terbaik bahawa Agensi Kanak-Kanak ini bukan lagi dianggap sekadar pilihan namun ia harus disegerakan. – Roketkini.com