Berita, Rencana

Pemisahan parti dalam berkerajaan

Oleh Nor Miswary Ramli 

(Mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri KPWKM)

Saya teringat ada satu masa, sewaktu saya mula-mula bertugas di Pejabat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di tingkat 37, Putrajaya. Ketika itu saya sedang menghabiskan makanan tengahari dan seorang penjawat awam di kementerian tiba-tiba bertanya kepada saya satu soalan serius. 

“Kenapa Encik Wary join DAP? Bukankah DAP ini parti Cina, parti komunis dan parti anti-Islam?” 

Saya cuma tergelak kecil dan kemudian membalas senyumannya. Selesai makan, saya cuba menenangkan beliau yang kelihatan gelisah sejak mula menyoal saya tadi. Ia bukan sesuatu yang baharu bagi saya. Ia bukan kali pertama dan saya telah menerima soalan seperti itu sejak hari pertama menjadi ahli parti lagi. 

Pertanyaan sebegini datang kerana dahulunya mereka hanya bergantung kepada sumber berita milik Kerajaan dan surat khabar yang telah bankrap akibat menanggung hutang membayar saman. Sehinggalah bertemu sendiri dengan “ahli parti Cina, parti komunis dan parti anti-Islam”, saya boleh faham mengapa beliau menjadi begitu teruja! Bagaimanapun saya memilih untuk menjelaskan kepadanya selepas waktu kerja sambil minum nescafe tarik panas di kedai makan yang mengadap tasik. 

Dahulunya promosi parti politik tidak pernah timbul di Pejabat Timbalan Menteri atau mana-mana jabatan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) termasuklah di cafetaria kementerian. Wajah parti politik tidak ada di muka saya atau muka Timbalan Menteri KPWKM ketika itu – Hannah Yeoh – sepanjang kami di sana sehinggalah kami terpelanting keluar dari Kerajaan pada penghujung Februari yang lalu. 

Tidak seperti yang dilakukan oleh Timbalan Menteri KPWKM dari parti PAS, Hannah Yeoh dari DAP mempunyai idealisma yang jelas mengenai perkara ini. Prinsip memisahkan antara hal parti dan hal berkerajaan adalah asas pembentukan parti DAP dan kepimpinannya. Bukan setakat melaungkannya, malah kami buktikan dengan tindakan. Kami tidak membenarkan ahli-ahli kami memakai baju logo parti hadir ke program kementerian atau program agensi kerajaan. Jangankan baju, lambang parti pun tidak ada di pejabat! Inilah garis yang membezakan kedua-dua mereka ini. 

Sebagai Timbalan Menteri KPWKM ketika itu, Hannah Yeoh sering kali memperingatkan saya dan pasukan – tiada agenda parti dibenarkan masuk ke dalam mana-mana urusan kementerian. Tegas beliau, perjuangan kementerian mestilah seputar isu kebajikan golongan sasar yang melangkaui batas bangsa, agama dan tentunya merentasi politik kepartian. Noktah. 

Kami tidak pernah mengusung imej parti ke pejabat ataupun ke dalam kementerian. Sungguhpun kami percaya penjawat awam berhak memiliki pendirian politik, namun melalui pemisahan ini, ia memudahkan kerja mereka. Kami menyingsing lengan baju bekerja bersama sebagai satu pasukan dan tidak dilihat sebagai sekumpulan elit ahli politik yang menyombong di balkoni kementerian. Penjawat awam boleh memperakui jika sesuatu idea itu berkesan dan bebas menyanggah jika ianya mustahil dilaksanakan tanpa rasa takut kepada sensitiviti parti yang dianggotai Menteri atau Timbalan Menteri. Oleh sebab itulah, kami tidak mempunyai infografik atau mesej awam KPKWM yang dipengaruhi oleh parti politik. Ketika itu, KPWKM hanya mempunyai satu warna dan satu pihak sahaja. Tidak ada warna parti politik di wajah kami yang mempengaruhi mereka. 

Kami juga sentiasa memastikan pihak pembangkang turut dijemput dalam program anjuran kementerian yang melibatkan kawasan mereka. Tegas Hannah Yeoh, kita adalah Kerajaan yang bertanggungjawab untuk semua dan tidak boleh berpihak kepada mana-mana parti termasuk parti sendiri. Kami tidak membezakan negeri-negeri yang diperintah oleh parti kerajaan atau pembangkang dalam mana-mana mesyuarat yang diadakan di Putrajaya. Dalam isu perkahwinan bawah umur misalnya, semua negeri termasuk yang diperintah oleh parti pembangkang sentiasa dilibatkan tanpa terkecuali. 

Paling membanggakan, sepanjang hampir 20 bulan di KPWKM, kami tidak pernah menerbitkan video kementerian yang menggunakan jawatan rasmi kerajaan untuk mempromosikan parti politik. Bukan kerana tidak mahu, tapi ia adalah persoalan integriti bagaimana duit pembayar cukai dibelanjakan. Lagipun idea ini salah dan sangat memalukan. Percayalah, Hannah Yeoh sendiri yang akan bantah jika saya memberikan cadangan seperti ini kepadanya – walaupun saya tidaklah sebodoh itu. – Roketkini.com