Berita

Kerajaan perlu segera tangani isu bekalan PPE yang dibangkitkan Dr Noor Hisham

Sebagai menghargai pengiktirafan ‘doktor terulung’ yang diterima Dr Noor Hisham Abdullah, kerajaan perlu segera menyelesaikan isu yang dibangkitkan Ketua Pengarah Kesihatan itu tentang kekurangan alat pelindungan diri (PPE) bagi kegunanan petugas kesihatan, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang. 

“Pengiktirafan Dr Noor Hisham sebagai seorang daripada tiga doktor kesihatan awam terulung dalam pengendalian wabak Covid-19 oleh China Global TV Network (CGTN) datang pada waktu yang sangat tepat memandangkan beliau adalah wira negara yang menyelamatkan kita semua semasa gelombang kedua wabak koronavirus sedang menular.

“Sebagai penghormatan kepada pengiktirafan ini, pihak kerajaan harus memastikan penyelesaian segera terhadap isu yang dibangkitkan beliau mengenai kekurangan alat pelindungan diri (PPE) yang kini makin berkurangan kerana peningkatan kadar permintaan

“Marilah kita mempelajari pengajaran daripada wabak global ini dan memberikan keutamaan untuk memastikan para petugas barisan hadapan dalam negara kita mempunyai bekalan alat pelindungan diri yang mencukupi, ketika mereka mempertaruhkan nyawa mereka, dengan berjuang dalam peperangan melawan wabak koronavirus ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dr Noor Hisham pada sidang media semalam berkata, simpanan bekalan PPE berkurangan dan mampu bertahan selama dua minggu.

Katanya, pihaknya kini sedang melaksanakan tiga kaedah bagi meningkatkan bekalan PPE iaitu perolehan pukal untuk semua negeri menerusi kerajaan Pusat, perolehan peringkat negeri dan juga derma daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Langkah itu, tambahnya, perlu diambil kerana penggunaan PPE dikesan meningkat dari dua kali ganda kepada 10 kali ganda ekoran penularan Covid-19.

“Kita perlu tambah PPE sebab gunakan ia setiap hari, berbanding keperluan ventilator, justeru perolehan harus sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Oleh itu, kita sentiasa alu-alukan derma daripada NGO untuk menambah simpanan bekalan semasa PPE,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Kit Siang, kadar jangkitan dan korban akibat Covid-19 mungkin akan lebih teruk jika bukan kerana kepimpinan yang ditunjukkan Dr Noor Hisham – selain pelaksanaan perintah kawalan pergerakan – dalam menangani gelombang kedua penyakit ini di negara ini. 

“Semasa gelombang pertama penularan wabak ini, kita berjaya mengekalkan kadar jangkitan rendah, pada paras 22 jangkitan tanpa sebarang kematian. Namun, gelombang kedua wabak ini mencapai paras baru hari ini dengan sejumlah 5,182 jangkitan, 2,766 kes yang telah pulih dan 84 kematian. 

“Tanpa penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Dr Noor Hisham dalam memerangi wabak Covid-19 ini, kadar jangkitan dan korban nyawa di negara kita mungkin kini akan berada di dalam satu situasi yang jauh lebih teruk,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri. – Roketkini.com