Berita, Rencana

Pastikan penjara bebas Covid-19 demi kepentingan semua

Seruan supaya tindakan diambil untuk mengatasi masalah kesesakan penjara ini adalah satu langkah yang terbit daripada hati nurani saya dan tidak bersandarkan apa-apa politik kepartian.

Tahanan di penjara mempunyai hak seperti kita untuk kekal selamat daripada sebarang wabak, lebih-lebih lagi wabak berjangkit dan berbahaya seperti Covid-19. Dengan pergerakan terbatas, tahanan akan lebih mudah terdedah dengan risiko jangkitan. Situasi ini sama seperti di rumah penjagaan. Sebaik sahaja virus tersebut menjangkiti seseorang, ia akan menjadi satu pengalaman yang mengerikan. Realitinya, terdapat banyak kes yang menyedihkan di seluruh dunia apabila virus ini tersebar di penjara dan rumah jagaan.

Justeru, adalah lebih baik jika kita tidak meletakkan pesalah-pesalah perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam penjara yang sudah sesak. Hal ini hanya akan mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan dan sekiranya mereka dijangkiti, ia tentunya akan merebak kepada tahanan yang lain.

Isu sebenar di sini adalah penjara-penjara Malaysia kini terlalu sesak. Isu ini pernah saya bincangkan bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin sebelum ini, pada Disember 2019, ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.

Kesesakan penjara di Malaysia terjadi disebabkan cara kita mengendali kes-kes pesalah dadah. Sebanyak dua pertiga tahanan adalah berkait dengan kes dadah.

Menurut laporan, seramai 73,000 tahanan ditempatkan di penjara yang hanya boleh menampung 52,000 tahanan. Jika penjarakan sosial dilaksanakan secara tegas untuk mencegah penularan Covid-19, sistem panjara kita tentunya hanya dapat menampung jumlah tahanan yang lebih kecil. Tambahan pula, kita bukannya berhadapan dengan situasi jangka masa pendek, bahkan ini akan berterusan untuk lebih lama lagi; kita tidak menjangkakan vaksin Covid-19 akan dihasilkan dalam masa yang terdekat.

Memandangkan situasi Covid-19 kian meruncing, Indonesia dan Turki sebagai contoh, telah membebaskan beribu-ribu tahanan bagi mengurangkan kesesakan di penjara dan menghadkan penularan wabak. Amerika Syarikat mengambil langkah yang sama untuk mengurangkan jumlah tahanan di penjara.

Dalam beberapa majlis pada tahun 2019, saya berpeluang untuk berbual secara peribadi dengan pegawai penjara di Selangor, Melaka dan Johor. Pengisian daripada perbualan tersebut sangat bermanfaat dalam menjelaskan isu ini dengan lebih lanjut.

Kebanyakan pegawai penjara yang saya jumpa bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk memikirkan semula tentang isu penahanan kes dadah. Mereka sebenarnya maklum penjara sering berfungsi seperti “universiti” (menggunakan istilah daripada pegawai penjara) untuk mereka yang melakukan kesalahan ringan, khususnya kesalahan dadah, untuk mempelajari kemahiran jenayah baru dan lebih berat, dan dibawa ke dalam rangkaian jenayah yang lebih besar.

Disebabkan populasi penjara yang besar, agak mustahil bagi mereka untuk menjalankan usaha pemulihan tahanan. Perkhidmatan perubatan juga sangat terhad dan ini membimbangkan para pegawai dan pengawal penjara. Jumlah doktor dan kakitangan perubatan yang diperuntukkan kepada perkhidmatan penjara adalah terlalu kecil berbanding dengan populasi penjara yang sebenarnya (bukan kapasiti yang dirancang yang lebih kecil).

Ada antara mereka yang begitu risau tentang batuk kering (tuberculosis). Mereka telah melihat beberapa rakan mereka yang maut akibat penyakit ini. Ini adalah “pembunuh senyap”(silent killer), kata salah seorang dari mereka.

Pegawai-pegawai penjara ini menghargai “Projek Reben Kuning” hasil buah fikiran mantan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah mewujudkan lebih seribu peluang pekerjaan untuk tahanan muda di penjara Sungai Buloh, yang mempunyai tempoh hukuman penjara yang pendek dan berkelakuan baik. Mereka dibawa untuk menetap dan bekerja di kawasan pembinaan sekitar Bukit Jalil.

Nurul Izzah Anwar juga telah menjalankan usaha bagi menambahbaik sistem penjara kita sejak 2018. Beliau menyasarkan 75 peratus penjenayah yang layak, dan tidak terlibat dengan jenayah keras untuk diserap ke dalam program pemulihan komuniti. Pada 2018, beliau telah mengusulkan undang-undang persendirian mengenai reformasi penjara.

Ketika era Najib Razak sebagai perdana menteri, seorang profesor/ perunding dari Korea Selatan, Chan Khim telah dibayar dengan lumayan untuk mempromosikan Stratergi Lautan Biru Nasional (NBOS). Salah satu langkah-langkah yang “diraikan”, ditulis sendiri oleh Chan Kim dalam siri kedua bukunya Blue Ocean Shift, adalah untuk menempatkan tahanan di kem tentera. Enam kem tentera – Kem Mahkota di Kluang (Markas Briged Infantri Ke-7), Kem Syed Sirajuddin di Gemas (Markas Garison Gemas), Kem Desa Pahlawan di Kota Bharu (Markas Briged Infantri Ke-8), Kem Sultan Abdul Halim di Alor Star (Markas Batalion ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja), Kem Batu 10 di Kuantan (Batalion ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja), dan Kem Paradise di Kota Belud (Rejimen 508 Askar Wataniah) di seluruh Malaysia mempunyai aturan yang sama.

Dalam semua perbincangan antara saya dengan jeneral-jeneral mengenai isu ini, tiada seorang pun yang setuju dengan rancangan tersebut. Malah, mereka tidak suka idea ini. Saya sendiri telah pun melawat Kem Mahkota, Kluang, pada tahun 2018 sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan berpandangan idea ini kurang bijak. Hakikatnya, langkah ini cuma mengelakkan masalah sebenar yang masih berlaku sekarang.

Realitinya, terdapat lebih ramai tahanan yang dijatuhkan hukuman penjara berbanding ruang penjara yang ada. Namun, cabaran utama kita adalah perkara lain dan jalan keluarnya bukan menambah jumlah penjara kerana ia akan menyebabkan perbelanjaan berterusan serta tidak menguruskan masalah sebenar.

Melihat dengan lebih mendalam jenis kesalahan jenayah yang ada, kita dapati terdapat banyak kesalahan melibatkan kes dadah. Pada masa itu, Najib bukannya berusaha untuk dekriminalisasi (menyahjenayah) penagihan dadah ataupun melancarkan langkah-langkah sosioekonomi bagi membantu golongan muda yang memerlukan dalam masyarakat, sebaliknya Najib memindahkan beban masalah ini kepada anggota tentera.

Sebenarnya, anggota tentera adalah dilatih untuk mempertahankan negara dan menggunakan senjata memerangi musuh luar. Mereka tidak sepatutnya menjadi pengawal penjara. Mereka bukanlah tenaga kerja tambahan kita.

Ternyata, para tahanan tidak berminat untuk bekerja. Mereka terpaksa dikerah untuk bekerja. Dalam pemikiran Chan Kim dan Najib, tahanan penjara akan dengan senang hati memotong rumput di dalam kem tentera. Realitinya, hasil ini tidak tercapai. 

Skim ini akhirnya dihapuskan oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN), yang dihadiri oleh Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 2019. Saya diberitahu bahawa terdapat pula percubaan untuk memindahkan tahanan penjara ke penjara yang dikendalikan secara swasta. Tetapi sekali lagi, ini sebenarnya bukanlah penyelesaiannya.

Untuk mengurangkan populasi penjara agar penjarakan sosial dapat dilaksanakan, ada keperluan mendesak untuk pengampunan atau pembebasan bersyarat Covid-19 untuk mereka yang didapati bersalah atas jenayah ringan atau kesalahan dadah ringan. Kita mesti tidak membazir masa dalam perkara ini.

Saya menghantar pesanan ringkas kepada Tan Sri Muhyiddin pada 23 Disember 2019 dan memberikan maklum balas bahawa pegawai penjara memberitahu saya mengenai kebimbangan isu kesihatan dan penjara dan isu dekriminalisasi penggunaan dadah.

Beliau memaklumkan kepada saya bahawa pihak penjara sedang bekerjasama dengan pihak kesihatan untuk mencegah jangkitan penyakit batuk kering di penjara.

Dalam soal dekriminalisasi dadah, beliau memberitahu sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan yang diwakili oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membincangkan beberapa aspek undang-undang berkaitan dadah.

Menariknya, Tan Sri Muhyuddin memberitahu saya jawatankuasa tersebut bersetuju secara prinsip ke arah dekriminalisasi. Namun, terdapat butiran teknikal untuk diselesaikan. Contohnya, bagaimanakah kaedah untuk menguruskan seorang penagih kes seorang penagih yang ditangkap  ketika mempunyai dadah dalam simpanannya? Adakah mereka sepatutnya diperlakukan sebagai penjenayah dan menuduhnya di bawah Akta Dadah Berbahaya, atau haruskah dia diperlakukan sebagai penagih kerana jumlahnya kecil?

Beliau menegaskan keperluan untuk mempercepatkan kesemua proses ini, kerana “hampir 70 peratus dalam penjara terlibat dengan dadah”.

Jelas sekali, kesesakan penjara adalah isu yang sangat difahami secara mendalam oleh Perdana Menteri, dan beliau telah jelas menunjukkan kefahaman ini semasa menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri. Kerenah birokrasi merupakan faktor yang telah melambatkan beliau untuk bertindak dengan lebih pantas.

Saya menggesa Perdana Menteri untuk mengambil perhatian secara peribadi perihal isu ini. Dalam masa terdekat, kita mesti mencari jalan keluar untuk kesesakan di penjara, untuk mengekang penyebaran Covid-19 dalam kalangan tahanan. Ini termasuk mempertimbangkan hukuman khidmat masyarakat atau pembebasan bersyarat bagi mereka yang disabit kesalahan ringan.

Sekiranya ada sesuatu yang kita pelajari dari Covid-19, kita sebenarnya semua setara dan terdedah kepada virus ini. Mengurangkan penyebaran jangkitan ini di semua tempat adalah cara terbaik bagi setiap antara kita.

Dalam jangka masa panjang, kita perlu lihat bagaimana untuk menguruskan penjara dan cara untuk mengubah sistem kehakiman daripada sistem hukuman ke sistem pemulihan yang lebih baik, terutama bagi pesalah dadah. – Roketkini.com

*Liew Chin Tong adalah mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Pengerusi DAP Johor.