Berita

‘Percepatkan agihan bakul makanan, usah mangsakan golongan B40’

*Keterangan gambar: ratusan bakul makanan tersimpan rapi di sebuah dewan di Cheras sejak dua minggu lalu, tetapi masih belum diagihkan oleh pihak JKM kepada rakyat memerlukan.

DAP Wilayah Persekutuan hari ini menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempercepatkan pengagihan 1,000 bakul makanan yang dijanjikan ke kawasan pembangkang. 

Setiausaha Publisitinya, Bryan Lew berkata, tindakan melambat-lambatkan pengagihan bakul makanan tersebut akan menjejaskan golongan B40 yang memerlukan bantuan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP). 

“Saya ingin mengingatkan Menteri KPWKM Rina Harun bahawa sehingga hari ini, kebanyakan kawasan parlimen pembangkang masih belum menerima sebarang bantuan bakul makanan daripada KPWKM ataupun daripada JKM kecuali kawasan Parlimen Langkawi dan segelintir kecil yang lain. 

“Usahlah berpolitik semasa musim Covid-19. Yang menjadi mangsa adalah rakyat yang memerlukan,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini. 

Malah, tambahnya, ada kawasan pembangkang di Wilayah Persekutuan hanya menerima 250 bakul makanan berbanding 1,000 yang telah dijanjikan oleh KPWKM, itu pun selepas dikenakan pelbagai syarat.

“Saya ingin mengingatkan Rina Harun bahawa sistem pengagihan bantuan bakul makanan mesti dibuat secara adil, telus, tanpa berat sebelah dan tiada sebarang unsur-unsur politik mahupun pemberian terpilih,” tegasnya. 

Mantan Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh sebelum ini turut membangkitkan tentang tindakan lembab pentadbiran Rina dalam mengagihkan bantuan bakul makanan tersebut terutama di kawasan pembangkang.

“Kelewatan pengagihan bakul makanan ke kawasan Parlimen pihak pembangkang akan memberi kesan kepada keluarga kumpulan B40 terutama apabila kita kini memasuki minggu keempat PKP dan menteri KPWKM perlu bersedia untuk mengurus bantuan ini secara lebih adil andai PKP ini bersambung ke fasa yang seterusnya,” katanya. – Roketkini.com