Berita, Rencana

Dilema Muhyiddin pasca Covid-19

Dua bulan selepas episod Langkah Sheraton, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tercari-cari hala tuju. Berdepan krisis dunia paling buruk abad ini, beliau mesti mendapatkan kepercayaan orang ramai, walaupun hanya untuk menjustifikasi kewujudan kerajaan yang tidak dilantik melalui peti undi ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan mengawal penyebaran wabak Covid-19 ini sedikit sebanyak telah memberi ruang bernafas untuk Muhyiddin. Tetapi beliau tahu bahawa PKP ini bukanlah untuk selama-lamanya.

Memandangkan Parlimen bakal bersidang pada 18 Mei, situasi politik akan kembali mencuri tumpuan. Meski menjadi orang yang paling untung hasil rampasan kuasa yang meletakkannya di kerusi Perdana Menteri, beliau bukanlah watak yang paling dibenci di Malaysia.

Anggota kabinet yang lainnya barangkali langsung tidak dipeduli, tidak dikenali, ditertawakan atau amat dibenci.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali kini menjadi cercaan ramai akibat peranannya dalam rampasan kuasa ini, dan turut tidak disukai ramai ekoran kesilapannya dalam menguruskan pembukaan semula beberapa perusahaan dalam fasa ketiga PKP.

Menteri Kesihatan Adham Baba pula kini pelawak ‘de facto’ nombor satu negara, dan merupakan liabiliti besar dalam pentadbiran Muhyiddin. Setiap kali beliau muncul di media, kerajaan hilang tiga hari kerana cercaan orang ramai.

Keserabutan Muhyiddin

Di sini letaknya cabaran buat Muhyiddin. Beliau akan terpaksa hidup bersama setiap seorang anggota gabungan yang diikat secara kelam kabut ini.

Beliau tak boleh buang sesiapa, seluruh anggota Kabinetnya boleh membuli beliau dengan begitu mudah. Contoh terdekat ialah tuntutan Umno Sabah ke atas hasil mahsul rampasan kuasa, terutamanya untuk Pengerusi Perhubungan negeri Sabah, Bung Mokhtar Radin yang kini turut berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah.

Muhyiddin kini menjadi PM dengan disokong sekitar 113 atau 114 kerusi daripada 222 kerusi di Parlimen. Meski majoritinya begitu tipis, dan menolak tepi penjelasan teknikal undang-undang, boleh kita katakan bahawa tidak mudah bagi Parlimen untuk meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Tetapi itu tidak bermakna Muhyiddin boleh tidur lena. Sama ada mentadbir dengan sokongan 113-114 kerusi, buktinya bukanlah dalam usul undi tidak percaya. Buktinya wujud dalam setiap rang undang-undang yang dibentang di Parlimen. Setiap satunya akan menjadi peluang untuk membuktikan sama ada kerajaan masih mempunyai majoriti.

Kita ambil contoh Johor. Kerajaan negeri pimpinan Umno mendakwa ia mempunyai sokongan 29 kerusi, manakala Pakatan Harapan  mempunyai 27 kerusi. 29 kerusi itu termasuklah Adun Bukit Gambir, iaitu Muhyiddin sendiri. Sekiranya beliau gagal hadir sidang DUN, kerajaan negeri pada hari itu hanya mempunyai 28 undi berbanding 27 undi di pihak Pakatan Harapan.

Pada hari mengundi Belanjawan, misalnya, jika dua atau tiga orang ADUN dari pihak kerajaan tidak puas hati dengan Menteri Besar dan mengambil cuti sakit, sementara ADUN PH semuanya hadir, kerajaan akan tewas dalam undi Belanjawan.

Parlimen juga berfungsi dengan cara yang sama. Oleh yang demikian, kita dapat melihat bagaimana Umno sedang membuli Muhyiddin apabila PM itu sendiri tidak mampu mengambil tindakan disiplin terhadap jemaah menterinya yang melanggar peraturan PKP.

Gabungan anak ayam Muhyiddin

1. Bersatu

Bersatu kini ada empat puak.

Pertama ialah kumpulan yang menyertai Bersatu ketika ia dibentuk pada 2016, seperti Menteri Tugas-tugas Khas Mohd Redzuan Yusof yang sebenarnya tidak ada fungsi pun dalam kerajaan Muhyiddin; Exco Melaka Rafiq Naizamohideen yang berangan mahu jadi Ketua Menteri tetapi dijahanamkan rakan-rakan baharunya; serta mantan Menteri Besar Johor Sahruddin Jamal yang hilang segala-galanya walaupun taat setia dengan Muhyiddin.

Kumpulan ini diserang Umno sejak 2016 hingga 2018, menanggung seksa secara kewangan dan peribadi, menang dengan mandat rakyat, dan kini terlungkup dan dilupakan.

Kedua, kumpulan penyokong Mahathir. Tiada siapa tahu berapa ramai sebenarnya bilangan penyokong mantan PM itu sehingga pemilihan parti diadakan. Hakikatnya Tun Dr Mahathir Mohamad masih mempunyai penyokong dan pesimpati dalam Bersatu yang mencukupi untuk menggegar Muhyiddin.

Ketiga adalah kumpulan yang masuk Bersatu selepas 2018, diketuai Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dengan beberapa bekas Ahli Parlimen Umno. Mereka ini mendapat habuan besar dalam kabinet Muhyiddin.

Keempat adalah puak yang paling banyak mendapat untung daripada lantikan menteri, i.e. kumpulan Azmin Ali yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat untuk masuk Bersatu dan memulakan Langkah Sheraton. Setiap satunya dilantik jadi anggota pentadbiran.

2. UMNO

Umno ini bukan sebuah entiti tunggal. Sejak PRU 2018, tiada seorang pemimpin yang mempunyai kawalan penuh ke atas parti itu, yang telah berkecai menjadi beberapa puak.

Personaliti paling bising pastinya bekas perdana menteri, Najib Razak. Beliau paling dikenali ramai dan mempunyai sokongan terbanyak dalam kalangan penyokong tegar Umno, tetapi beliau ibarat racun kepada pengundi Melayu atas pagar.

Tetapi Najib ini seorang ‘survivor’. Meski menanggung pertuduhan rasuah yang menggunung tinggi, beliau masih bebas memainkan peranan sebagai tukang troll, menyerang Pakatan Harapan dengan tiga suku kudratnya, dan selebihnya digunakan ke atas pentadbiran Muhyiddin.

Dengan berpandukan pemikiran Najib, Umno telah mencipta ruang untuk dirinya sendiri: Umno bersama PAS dalam Muafakat Nasional, menyokong Perikatan Nasional Muhyiddin hanya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Satu puak lagi dikepalai presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sebenarnya tidak dapat mengawal parti itu. Beliau nampaknya bersama Najib, tetapi ada ketikanya mereka tidak seiring, terutamanya pada minggu-minggu awal Februari 2020.

Hishammuddin Hussein, Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali adalah perencana asal rampasan kuasa ini dan telah bekerjasama rapat secara merentas parti sejak awal 2019, atau mungkin lebih awal lagi. Tujuan mereka adalah untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi PM. Hishammuddin mendakwa beliau memiliki antara 17 ke 22 orang Ahli Parlimen Umno.

Kemudian ada juga Mohamad Hasan dan Khairy Jamaluddin di Negeri Sembilan, serta Khaled Nordin di Johor dan watak-watak lain yang tidak masuk dalam tiga kumpulan di atas.

3. PAS

PAS sebagai sebuah parti politik adalah kukuh dan ‘solid’ sebagai satu kumpulan, tetapi kekurangan bakat politik di peringkat nasional.

Pada ketika ini, pimpinan PAS sedang menikmati ‘ghanimah’ termasuk lantikan GLC sambil menantikan pilihan raya akan datang. Objektif PAS adalah untuk menguasai Kelantan dan Terengganu, serta bergerak maju di Kedah dan Perlis.

4. Gabungan Parti Sarawak (GPS)

GPS menguasai Sarawak dan tidak setia kepada sesiapa. Pimpinannya lebih suka untuk bekerja dengan bekas rakan-rakan Barisan Nasional yang mereka kenal betul, daripada berkawan dengan pimpinan Pakatan Harapan, seperti DAP yang menjadi seteru mereka dalam politik Sarawak.

Cabaran Muhyiddin

Gabungan kerajaan Muhyiddin ini terdiri daripada empat puak di Bersatu, empat puak Umno, GPS dan PAS; kesemuanya sepuluh puak dengan kepentingan berbeza-beza, ada waktunya bersaing, dan di waktu yang lain boleh bekerjasama.

Bagi sang Perdana Menteri, apabila wabak Covid-19 kian perlahan, beliau akan perlu bimbang tentang Malaysia pasca-PKP.

Sama ada Muhyiddin akan berjaya dengan mengawal rakan gabungannya yang begitu kompetitif, masa akan menentukan apabila keperluan ekonomi rakyat dan negara memperlihatkan realiti yang memeritkan; tidak lama sahaja lagi.

Adakah gabungan ‘anak ayam’ Muhyiddin ini akan kekal bersama? Saya tidak begitu yakin. – Roketkini.com

*Liew Chin Tong adalah mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Pengerusi DAP Johor.