Berita, Rencana

Pemimpin, rakyat sama-sama kena patuh PKP

Berbaki enam hari lagi sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa ketiga berakhir. Sama ada perintah ini akan dilanjutkan ataupun tidak — tiada siapa pun tahu. 

Yang pastinya umat Islam bakal menyambut Ramadan dalam beberapa hari sahaja lagi tanpa kemeriahan seperti sebelum-sebelumnya – tiada suasana beratur panjang untuk membeli murtabak daging di bazar Ramadan, apatah lagi solat Tarawih berjemaah di surau atau masjid.

Tapi ada yang sudah membuat ramalan bahawa ia akan dilanjutkan, mungkin dengan sedikit kelonggaran.

Sementara itu saban hari kita diperhidangkan dengan berita-berita tangkapan individu yang didakwa melanggar ketetapan PKP. Ada yang ditangkap kerana lepak bersama teman-teman di beranda rumah, ada juga yang diheret ke balai kerana menunggu waktu Isyak untuk solat berjemaah di surau. 

Mengikut laporan media, setakat 20 April terdapat 3,431 tangkapan berkaitan pelanggaran PKP dan daripada jumlah itu sebanyak 1,573 kertas siasatan telah dibuka.

Adakah statistik ini termasuk kelompok yang digelar ‘kayangan’, atau sekadar rakyat biasa? Bagaimana pula dengan kes VIP bertaraf timbalan menteri dan wakil rakyat yang didakwa melanggar PKP dengan menyertai majlis makan-makan? 

Adakah permohonan maaf sudah cukup untuk melepaskan mereka daripada kompaun RM1,000, diheret ke mahkamah dan seterusnya dipenjarakan seperti mana rakyat di bawah?

Terbaharu dikhabar juga seorang anak bekas timbalan menteri dilihat meloncat dari satu kementerian ke kementerian lain mengalahkan sibuknya Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba. Tindakan ini mengundang kecaman warga net. 

Gelagat ini akan mengundang reaksi rakyat, selagi mana kumpulan ‘kayangan’ ini tidak dilayan serupa dengan pesalah-pesalah PKP yang lain. 

Rakyat akan terus memerhati tindak-tanduk kerajaan hari ini. Tunjukkanlah tauladan yang baik kepada rakyat jika mahu PKP ini terus berjaya. Usah bersikap dwi-standard dalam pelaksanaan apa juga undang-undang. Di bawah undang-undang, kita semua sama. – Roketkini.com