Berita

Pastikan kebajikan, kesejahteraan pekerja terjamin

Selamat Hari Pekerja diucapkan kepada golongan pekerja di negara ini yang sekian lama telah bertungkus lumus dalam memainkan peranan sebagai penggerak produktiviti negara.

Kebajikan golongan pekerja di negara ini perlu terus diperjuangkan dan dilindungi. Ini lebih-lebih lagi dengan situasi yang melanda negara ketika ini.

Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan ekoran penularan pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang amat signifikan kepada perniagaan.

Banyak hotel, syarikat dan perniagaan terjejas. Ada yang mengumumkan akan menghentikan operasi. Ini bermakna, ramai akan kehilangan pekerjaan. Pekerja-pekerja ini amat memerlukan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka dan tanggungan.

Seperti dilaporkan oleh media sebelum ini, sebuah hotel lima bintang 500 bilik di Lembah Klang bakal menutup operasinya hingga hujung tahun ekoran perniagaan terjejas akibat wabak Covid-19 dan PKP.

Pekerjanya diberitahu untuk mengambil cuti tanpa gaji sepanjang tempoh penutupan itu.

Semalam pula, dilaporkan sebuah lagi hotel lima bintang di Melaka memutuskan untuk menutup perniagaan. Langkah meneruskan operasi bagi hotel itu dikatakan tidak lagi ‘munasabah’ susulan krisis pandemik Covid-19.

Justeru, kerajaan perlu mengumumkan segera rancangan baik pulih ekonomi dalam usaha mendepani cabaran-cabaran mendatang. Dalam keadaan sekarang, pendekatan ‘lakukan apa sahaja’ perlu digerakkan demi menjamin kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja. – Roketkini.com