Berita

Parlimen perlu bersidang sekurang-kurangnya dua minggu

Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), Bersatu dan Warisan hari ini menggesa agar persidangan Parlimen diadakan sekurang-kurangnya dua minggu bermula Mei ini.

Ini memandangkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) membenarkan banyak aktiviti ekonomi beroperasi dengan syarat mematuhi operasi prosedur standard (SOP) bermula hari ini.

Sehubungan itu, wakil rakyat pembangkang berpendapat Parlimen juga boleh bersidang penuh dengan menggunakan SOP yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, memakai pelitup muka, serta melakukan saringan Covid-19. 

“Maka sebenarnya tiada alasan atau halangan bagi Parlimen untuk bersidang penuh lebih dari sehari yang telah diumumkan,” ujarnya hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. 

Menurut kenyataan tersebut, persidangan lebih panjang membolehkan perbahasan isu dengan lebih mendalam dan memberi peluang kepada menteri melaksanakan agenda legislatif kementerian masing-masing. – Roketkini.com