Berita, Rencana

Persediaan rakyat sambut Aidilfitri: Apa perancangan kerajaan PN?

Oleh Nor Miswary Ramli

Timbalan Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya

Bagi memudahkan mereka yang beragama Islam membuat persediaan menyambut hari raya Aidilfitri, kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk mempunyai perancangan yang lebih tersusun dan membuat pengumuman awal kepada rakyat sama ada perintah kawalan pergerakan (PKP) ini bakal ditamatkan atau akan terus disambung selepas 12 Mei 2020.

Kerajaan PN perlu membuat pengumuman awal tanpa bergantung kepada kes terbaharu semata-mata. Ini bagi membolehkan umat Islam yang berpuasa dapat membuat persediaan seperti membuat tempahan secara atas talian untuk membeli makanan tradisi atau kelengkapan menyambut hari raya Aidilfitri di rumah masing-masing. Tafsiran kebenaran menyambut perayaan ini dengan ahli keluarga terdekat juga dilihat masih kabur.

Pengumuman awal berdasarkan jangkaan kes dapat memberikan tempoh bertenang jika kes baharu Covid-19 semakin berkurangan menjelang hujung bulan Ramadan. Ini dapat mengelakkan Kerajaan daripada terburu-buru menamatkan PKP atau membenarkan pergerakan pulang ke kampung halaman dengan notis pendek dua atau tiga hari menjelang Aidilfitri.

Kerajaan tidak boleh mengulangi pengumuman separuh masak seperti yang dibuat oleh perdana menteri Jumaat lepas, iaitu pada cuti umum seluruh negara bagi pembukaan semula ekonomi melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan bermula pada 4 Mei.

Pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri tempoh hari mengundang lebih banyak persoalan kerana tempoh PKP yang diumumkan sebelum ini hanya akan tamat pada 12 Mei 2020. Sedangkan jadual pergerakan pekerja yang berada di kampung yang akan dikeluarkan oleh PDRM hanya akan bermula pada 7 Mei sehingga 10 Mei.

Kerajaan PN disaran untuk lebih cakna dalam membuat pengumuman penting dalam tempoh krisis seperti ini agar rakyat tidak menjadi keliru sehingga boleh menimbulkan suasana gusar malah mungkin mencetuskan pergerakan dan pembelian panik menjelang Aidilfitri. – Roketkini.com