Berita, Rencana

Tak sampai tiga bulan jadi kerajaan, PN sudah terpalit rasuah

Sebuah syarikat pemaju hartanah kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan tidak layak mendapat kontrak bernilai RM30 juta.

Amat mencurigakan apabila sebuah syarikat hartanah memperoleh kontrak  kelengkapan sebuah makmal dan dikatakan turut mendapat kontrak membekalkan kelengkapan sistem makmal bagi Kementerian Kesihatan.

Peguam, Wee Choo Keong telah membangkitkan isu ini pada 30 April lalu dengan meminta Kementerian Kesihatan untuk tidak melakukan penyelewengan dan bersikap telus dalam pemberian kontrak yang bertujuan mencegah penularan Covid-19.

Bekas ahli politik itu juga menyatakan bahawa kontrak tersebut diperolehi sejurus selepas kementerian memaklumkan bahawa ia kekurangan sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan juga dalam usaha menjalankan lebih banyak ujian Covid-19.

Kini, kementerian tersebut juga sedang disiasat oleh pasukan penyiasat berikutan ketelusan pemberian kontrak kepada syarikat yang jelas tidak berkaitan dalam kedua-dua projek dalam lapangan kesihatan.

Kes ini masih di peringkat awal dan ia mula disiasat oleh SPRM apabila terdapat informasi berkenaan pemberian kontrak pada syarikat yang tidak layak, selain persoalan-persoalan hangat tentang proses pemberian kontrak yang timbul di media-media sosial.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba pula menyatakan sokongan dan kerjasama akan diberikan oleh KKM berkaitan isu ini agar integriti warga kementerian terjaga serta bebas daripada penyelewengan.

Apa yang rakyat dapat harapkan daripada kerajaan yang berdiri atas pengkhianatan? Lebih kurang dua bulan Perikatan Nasional bergelar “kerajaan yang mengambil berat tentang anda”, dan kini telahpun mempunyai rekod kes skandal pertama. Ia ibarat bangkai gajah tidak bolehlah ditutup dengan nyiru. – Roketkini.com