Berita, Rencana

PN ibarat retak menanti belah

Oleh Iskandar Fareez

(Mantan Ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan)

Sungguh hairan sekali. Tatkala Pakatan Harapan (PH) tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara, masih ada kelompok yang galak menuding jari kepada DAP, salah satu parti komponen PH, sebagai punca sebarang satu permasalahan negara ini. Seolah-olah PH lah yang masih memerintah negara ketika ini.

Fitnah-fitnah di jendela-jendela WhatsApp dan Telegram berleluasa dengan teori-teori konspirasi yang umum mengetahui tidak berasas. Tidak lupa juga laman-laman media sosial milik sesetengah pihak yang mencanangkan komplot bayangan rampasan kuasa terhadap kerajaan PN.

Serangan demi serangan ditujukan. Ini termasuklah yang ditujukan baru-baru ini kepada Veteran DAP, Lim Kit Siang oleh Menteri Kanan (Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Jelas sekali tindakan menteri di laman Twitter itu merupakan cubaan untuk menutup kelemahan beliau sendiri dalam kepincangan pengurusan dan koordinasi industri di saat dan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bersungguh-sungguh mahu membuka semula ekonomi negara. Mujur sekali, rata-rata masyarakat Malaysia tidak mudah termakan muslihat ini.

Bahkan, kebanyakan serangan yang telah disebut di atas adalah cubaan terdesak pendokong PN untuk menutup pekung di dada mereka. Sekadar penyedap hati masing-masing.

Hakikatnya, gabungan PN di kala ini ibarat retak menanti belah, mereka sedang dirundung dengan seribu macam masalah yang boleh membahayakan kelangsungan politik mereka.

Baru-baru ini, Majlis Tertinggi UMNO menolak cadangan penubuhan PN. Hal ini juga adalah rentetan kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, sendiri yang menafikan penyertaan UMNO ke dalam PN. Beliau turut menyatakan bahawa PN bukanlah sebuah badan yang sah kerana tidak berdaftar.

Cadangan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya parti itu kembali ke pangkuan PH dan juga keputusan sayap Pemuda Bersatu (Armada) menolak kerjasama dengan UMNO.

Pelawaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kepada Muhyiddin untuk menyertai parti UMNO supaya beliau kekal menjadi perdana menteri. ‘Jemputan’ ini secara tidak langsung hanyalah secebis daripada sebilangan contoh pergeseran antara ahli-ahli PN. Lebih banyak lagi yang kita boleh lihat daripada laporan berita setiap hari.

Ternyata, tiada faktor luaran atau “Langkah Hotel Mewah” yang sedang diaturkan oleh seteru politik PN. Tiada pihak luar yang mencetuskan mencetuskan perbalahan ini. Malah ini semua terjadi kerana persaingan dalaman mereka sendiri.

Mungkin Muhyiddin merasakan beliau boleh mendamaikan pergeseran-pergeseran ini dengn membuat lantikan politk semata-mata. Maklumlah, saban hari, ada sahaja ahli politk PN yang dilantik memegang jawatan di syarikat berkaitan kerajaan atau badan berkanun.

Namun, ketidakpuasan akar umbi mereka sedang membuak-buak. Taburlah sebanyak mana pun habuan politik kepada golongan yang berselisih ini. Lambat-laun ia tidak akan dapat menampal retak-retak gabungan rapuh PN yang semakin terserlah. – Roketkini.com