Berita

Kerajaan PH P. Pinang salur lebih RM2 juta bantu nelayan

Seramai 5,814 nelayan pesisir pantai akan menerima bantuan yang kesuluruhannya berjumlah lebih RM2.32 juta di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 yang diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow baru-baru ini.

Ia adalah sebahagian daripada pakej bantuan fasa kedua yang keseluruhannya berjumlah RM151 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu golongan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil dalam reaksinya berkata inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap golongan nelayan.

“Bantuan tersebut amat penting kepada nelayan kerana mereka merupakan golongan marhaen atau B40 yang memerlukan perhatian khusus daripada kerajaan,” katanya seperti dipetik MalaysiaDateline. 

Katanya lagi, pemberian itu dapat membantu meringankan beban nelayan ekoran penularan wabak Covid-19 setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan dan pendapatan mereka terjejas teruk.

“Tidak dapat dinafikan, apabila PKP dilaksanakan rantaian bekalan makanan terutamanya bekalan ikan terkesan teruk kerana berlakunya ‘disruption supply chain’ sehingga terdapat nelayan yang terpaksa membuang hasil tangkapan kelaut kerana tidak dapat dijual.

“Ini membuktikan kerajaan tebuk atap (PN) gagal bertindak cepat dan berkesan dalam menangani isu ini. 

“Tiada polisi dan arahan jelas serta konkrit bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi industri perikanan walaupun negara mempunyai pegawai yang kompeten terutamanya di bawah LKIM untuk menguruskan perkara tersebut,” ujar beliau.

Tambah Faiz, pemberian tersebut juga membuktikan bahawa kerajaan PH Pulau Pinang komited membela nelayan bagi mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

“Setakat ini tiada kerajaan negeri lain termasuk kerajaan pusat yang memberikan bantuan tunai sedemikian yang dikhususkan untuk para nelayan,” tambahnya lagi. 

Sehubungan itu, Faiz berharap agar bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para nelayan dalam membaiki atau menambah baik peralatan tangkapan ikan supaya dapat meningkatkan hasil tangkapan serta pendapatan mereka. 

Katanya, keputusan kerajaan memberikan bantuan kotak insulasi bernilai RM180 kepada 250 nelayan darat berjumlah RM45 ribu yang jarang diberikan perhatian amat disokong sepenuhnya. – Roketkini.com