Berita

Ke mana perginya topeng muka yang dijanjikan?

Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung mempersoalkan dakwaan Kerajaan Negeri Johor kononnya lebih 90 peratus rakyat negeri ini telah menerima sumbangan topeng muka.

Ini kerana berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pihaknya berhubung perkara itu, masih ramai penduduk negeri ini yang masih belum menerima topeng muka yang dijanjikan kerajaan negeri.

Katanya, seramai 1,597 responden atau 93.9 peratus yang menyertai kaji selidik itu memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima topeng muka daripada kerajaan negeri dan hanya 103 orang (6.1 peratus) sudah menerimanya. 

“Ke mana perginya topeng muka yang telah dijanjikan? 

“Saya berharap Kerajaan Negeri mengambil perhatian tentang isu ini dan tidak terlepas pandang kawasan-kawasan yang belum menerima topeng muka, khususnya di kawasan DUN Johor Jaya.

“Ramai penduduk di Taman Johor Jaya masih tertunggu-tunggu pengagihan topeng muka daripada kerajaan negeri sebagai langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan bunga kepada jururawat di Klinik Kesihatan Masai dan Klinik Desa Plentong dekat Masai, Johor sempena sambut Hari Jururawat Sedunia hari ini. 

Menurut Cai Tung yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor, jururawat memainkan peranan yang penting dalam sistem kesihatan awam. 

“Walaupun jururawat sering dilihat sebagai peranan sekunder dalam perkhidmatan kesihatan, mereka masih gigih menjalankan tanggungjawab masing-masing tanpa mengenal penat lelah.

“Mereka bukan sahaja berkorban masa, tenaga dan perasaan, malah ada juga yang sedang mengandung dan masih menjalankan tugas. 

“Ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang, meninggalkan suami, isteri dan anak demi menjalankan tugas untuk negara,” katanya. – Roketkini.com