Berita

Kerajaan PN Perak lantik speaker tak ikut undang-undang

Pakatan Harapan (PH) Perak akan mencabar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mahkamah, kata Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar.

Menurut beliau, pelantikan tersebut bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak serta Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN.

Katanya, kerajaan negeri perlu mengeluarkan notis sekurang-kurangnya tujuh hari selepas kerusi speaker dikosongkan untuk melantik penggantinya supaya semua Adun dapat menamakan calon.

Malah, tambah Sivakumar, sidang DUN sepatutnya tidak lagi boleh diteruskan sebaik sahaja kerusi speaker dikosongkan.

“Memandangkan pemilihan Speaker DUN Perak baharu, Datuk Mohd Zahir Khalid adalah tidak sah di sisi undang-undang, maka PH merizabkan hak undang-undang untuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah demi mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan sistem demokrasi,” tegasnya Sivakumar dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Datuk Ngeh Koo Ham melepaskan jawatan speaker DUN Perak dan menangguhkan sidang DUN. 

Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bertindak bertentangan dengan undang-undang dan meneruskan sidang dengan melantik speaker baharu. 

Koo Ham dalam reaksinya berkata, tindakan Ahmad Faizal itu tidak mengikut peraturan dewan kerana beliau telah terlebih dahulu menangguhkan sidang. 

Jelasnya, sidang tidak boleh diteruskan tanpa speaker. 

“Undang-undang negeri juga menyatakan sebaik sahaja dewan tiada speaker, sidang tidak lagi dibenarkan. Jadi ini ialah kerajaan negeri yang tidak menghormati undang-undang,” tegasnya. 

Mengulas lanjut, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah mengutuk layanan kerajaan PN terhadap Koo Ham selepas beliau melepaskan jawatan speaker. 

“PH Perak juga berasa terkejut cara kerajaan PN cuba melucutkan hak dan mengarahkan bentara mengusung keluar Ngeh Koo Ham keluar dari Dewan walaupun beliau sudah meletak jawatan secara terhormat. 

“Perbuatan dan tingkah laku kerajaan PN adalah amat memalukan,” ujarnya. – Roketkini.com