Berita

Koo Ham titip pesanan sebelum lepas jawatan Speaker DUN Perak

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menitipkan pesanan kepada Kerajaan Negeri Perak sebelum melepaskan jawatan sebagai speaker Dewan Undang Negeri (DUN), hari ini. 

Untuk rekod, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN) akibat percaturan ‘Langkah Sheraton’ yang merubah landskap politik di peringkat persekutuan dan negeri.

Dalam ucapannya, Koo Ham antara lain mengingatkan tentang kepentingan menjalankan amanah mentadbir kerajaan berlandaskan undang-undang.

Ini termasuk dalam soal pemilihan speaker baru, yang menurut beliau hanya boleh berlaku jika terdapat kekosongan dan notis perlu diberikan tujuh hari sebelumnya.

“Jika speaker itu dipilih tidak menurut perintah tetap, akan jadi isu tentang sama ada ia sah dari segi undang-undang. 

“Saya sebagai pengamal undang-undang mahu memastikan Dewan ini diuruskan mengikut undang-undang dan bukannya dengan cara ugutan.

“Ini sangat memalukan,” katanya pada persidangan DUN Perak, hari ini. 

Beliau berkata demikian merujuk percubaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk memulakan usul undi tidak percaya bagi mendesak beliau meletakkan jawatan. – Roketkini.com