Berita

Kerajaan PN digesa henti sekat media buat liputan di Dewan Rakyat

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa berbincang dengan wakil media berhubung isu sekatan terhadap wartawan selain daripada media kerajaan untuk membuat liputan pada sidang pembukaan Parlimen yang akan berlangsung pada 18 Mei ini. 

Menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, ini bagi memastikan liputan persidangan tersebut tidak bergantung semata-mata kepada media kerajaan selain membolehkan laporan yang bersifat menyeluruh dapat disiarkan. 

“Saya tidak percaya yang ianya mustahil untuk memenuhi permintaan pihak media untuk diberikan akses penuh liputan Parlimen dan pada masa yang sama mematuhi penjarakan sosial.

“Saya justeru menggesa Parlimen untuk berbincang dengan wakil-wakil media untuk memastikan liputan sidang Parlimen pada 18 Mei ini tidak bergantung hanya kepada ‘media rasmi’,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, tindakan kerajaan PN itu juga bertentangan dengan usaha pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dalam mengangkat kebebasan media.

“Di bawah pentadbiran 22 bulan kerajaan PH, indeks kebebasan media bertambah baik. 

“Malaysia naik 44 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) sejak dua tahun lalu, dari tangga ke-145 kepada 123 pada 2019 dan sekali lagi naik ke tangga ke-101 pada 2020. 

“Kurang daripada 100 hari, kerajaan PN nampaknya mengambil langkah keterbelakang dalam soal kebebasan media, seperti soal siasat terhadap petugas media antarabangsa, Tashny Sukumaran dan keputusan membenarkan hanya ‘media rasmi’ membuat liputan di Parlimen,” ujarnya. 

Kit Siang merujuk soal siasat polis terhadap Koresponden South China Morning Post di Malaysia, Tashny Sukumaran, berhubung ciapannya di Twitter mengenai serbuan Jabatan Imigresen di Selangor Mansion di Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata hanya beberapa media rasmi kerajaan sahaja dibenarkan untuk membuat liputan pada mesyuarat pertama, penggal ketiga persidangan Dewan Rakyat, Parlimen ke-14 itu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan prosiding Dewan Rakyat akan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kerajaan.

Keputusan itu bagaimanapun mendapat tentangan wakil media antaranya Kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menyifatkan “tiada keperluan jelas” untuk menyekat kehadiran wartawan selain daripada media kerajaan.

“Semua petugas media mematuhi SOP Kementerian Kesihatan bagi mencegah jangkitan Covid-19,” katanya dalam suatu kenyataan.

Malah, Geramm turut menegaskan bahawa lintas langsung sidang Parlimen tidak memadai memandangkan media bukan kerajaan dihalang daripada bertanyakan soalan. – Roketkini.com.