Berita

UMNO bolot kuasa, Faizal kini jadi ‘MB tempang’

Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disifatkan sebagai “Menteri Besar Tempang” selepas sebahagian besar Adun UMNO menguasai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Perak. 

Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari, jumlah Adun UMNO yang ramai dalam MMK bererti sebarang keputusan yang dibuat Ahmad Faizal selaku menteri besar boleh ditolak begitu sahaja.

“Inilah hakikat politik setelah Perikatan Nasional (PN) membentuk sebuah kerajaan tanpa mandat dari rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Untuk rekod, MMK Perak mempunyai 10 ahli iaitu enam dari UMNO, dua dari Bersatu dan dua lagi dari PAS. 

Komposisi ini bermakna UMNO kini menguasai MMK dan mempunyai keputusan untuk menolak sebarang cadangan menteri besar.

Mengulas lanjut, Aziz Bari yang juga Adun Tebing Tinggi berkata, UMNO juga mempunyai kerusi DUN paling banyak di Perak mengatasi Bersatu dan PAS. 

“Seperti contoh, di Majlis Bandaraya Ipoh, UMNO mempunyai lapan Ahli Majlis, sebaliknya Bersatu hanya mempunyai empat sahaja. 

“Keadaan yang tidak seimbang ini bakal menggugat kedudukan Menteri Besar kerana tanpa sokongan UMNO, Ahmad Faizal dijangka akan kehilangan jawatannya,” ujarnya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) Perak akan terus menumpukan fokus untuk menyemak dan mengimbang kuasa eksekutif kerajaan negeri bagi memastikan kerajaan negeri berlaku adil kepada semua kaum, selain mengikut prinsip ketelusan, bersih, berintegriti dan bertanggungjawab. 

“Pada masa yang sama, PH juga akan terus menumpukan fokus menjadi alternatif kepada rakyat negeri ini supaya PH menjadi pilihan utama rakyat negeri Perak sekiranya pilihan raya negeri diadakan pada bila-bila masa,” ujarnya. – Roketkini.com