Berita, Rencana

Kerajaan PN tak ada alasan untuk hadkan tempoh sidang Parlimen

Banyak negara telah menjalankan sidang Parlimen bagi membahaskan isu serta menggubal akta berkaitan Covid-19, meskipun masih berdepan ancaman wabak tersebut.

Ini membuktikan bahawa persidangan Parlimen boleh dilakukan jika kerajaan mempunyai kemahuan politik dan prihatin terhadap nasib rakyat yang terkesan teruk akibat daripada penularan virus tersebut. 

Persidangan boleh dijalankan dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti jarak sosial atau mengadakan sidang perbahasan atau sesi pertanyaan menteri secara atas talian. 

Bagaimanapun di Malaysia, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mengambil langkah terkebelakang dengan mengehadkan tempoh persidangan kepada satu hari pada 18 Mei ini tanpa sebarang perbahasan.

Keputusan ini diambil meskipun banyak sektor ekonomi seperti restoran telah mula dibenarkan beroperasi sepenuhnya. 

Terdapat juga ura-ura yang mendakwa tempoh persidangan itu dipendekkan kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang untuk berdepan usul undi tidak percaya terhadapnya. 

Bagi Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii persidangan Parlimen selama sehari tanpa perbahasan dilihat tidak berbaloi dengan kos yang perlu dikeluarkan kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, perjalanan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak ke Kuala Lumpur memerlukan belanja yang besar melibatkan kos penerbangan, penginapan termasuk kos saringan Covid-19.

“Bayangkan berapa banyak yang perlu dibelanjakan kerajaan hanya untuk persidangan selama satu hari, tetapi mereka tidak mahu menggunakan peluang ini sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Malah, katanya banyak negara yang telah melaksanakan sidang penuh Parlimen dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19. 

“Jadi mengapa tidak di Malaysia?” soalnya. 

Akta Covid-19 perlu dibentang segera

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan parlimen), Takiyuddin Hassan pada 3 Mei lalu berkata, kerajaan akan memperkenalkan beberapa rang undang-undang (RUU) berkaitan pencegahan wabak Covid-19 pada persidangan parlimen yang dijadualkan pada Julai depan.

Tegas Kelvin, wabak Covid-19 memberi impak yang sangat besar terhadap ekonomi negara, justeru harus ditangani dengan segera menerusi pengubalan akta berkaitan di Parlimen. 

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu sehingga persidangan Parlimen pada Julai untuk berbuat demikian. 

“Akta yang penting seperti itu perlu diluluskan segera dan tidak perlu ditangguhkan sehingga Julai kerana rakyat sedang merasai impak ekonomi akibat penularan virus tersebut. 

“Kalaupun RUU tersebut diluluskan di Parlimen pada Julai, ia masih memerlukan kelulusan Dewan Negara yang hanya akan bersidang pada September 2020. 

“Ini bermakna RUU berkaitan Covid-19 yang begitu penting hanya akan diluluskan dan mungkin akan diwartakan selewat-lewatnya Oktober 2020, atau mungkin hujung tahun,” ujarnya. – Roketkini.com