Berita

MP DAP sedia pek makanan percuma sempena Ramadan

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bangi terus aktif dalam menggerakkan inisiatif khidmat bakti kepada masyarakat sekitar kawasan Parlimen berkenaan.

Kali ini, pusat khidmat tersebut telah melaksanakan pengagihan pek makanan kepada penduduk setempat.

Walaupun makanan yang disediakan bukanlah juadah mewah, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan mengisi perut.

Ini lebih-lebih lagi dalam keadaan rakyat yang masing-masing bergelut untuk terus hidup terutama ekoran impak daripada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sempena dengan Ramadan ini, pasukan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming memasak dan memberi peluang kepada sesiapa sahaja penduduk yang memerlukan untuk datang mengambil makanan secara percuma di pejabatnya.

Selain itu, pek-pek makanan itu juga diagihkan di kawasan-kawasan termasuk berdekatan perhentian bas Jalan Tukang, Kajang serta diedarkan menerusi bantuan persatuan-persatuan penduduk dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Pemberian makanan ini bermula pada pukul 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Berdasarkan respon masyarakat, inisiatif tersebut telah mendapat sambutan memberangsangkan berdasarkan permintaan yang meningkat.

Jelas penyelaras program, Nor Zulaila Abd Ghani, berikutan sambutan yang menggalakkan penduduk, jumlah pek berkenaan dipertingkatkan dari semasa ke semasa selaras dengan permintaan semasa.

Nor Zulaila memaklumkan, antara menu yang sudah dimasak adalah ayam masak merah, ayam kari, ayam masak kicap, ayam masak lemak cili padi, kacang panjang goreng, kobis goreng, sambal telur dan nasi goreng.

Pasukan yang terlibat akan mula menyediakan bahan dan memasak pada pukul 2 petang, seterusnya membungkus dan mengedarkannya pada pukul 5 petang.

“Kita lihat program ini mendapat sambutan oleh orang ramai dengan kehadiran yang menggalakkan dari semasa ke semasa. Ramai juga membantu, semalam ada pihak yang turut memberi tajaan,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Berdasarkan hantaran Kian Ming di Facebook, rata-rata pengguna media sosial memuji inisiatif proaktif pengagihan pek makanan itu dan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP tersebut.

Alamat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bangi adalah di No.67A, Tingkat 1, Taman Sri Reko, Jalan Reko, 43000 Kajang. – Roketkini.com