Berita, Rencana

DAP curah khidmat bakti demi kesejahteraan rakyat

Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi pastinya tidak sama sepertimana tahun-tahun sebelum ini. Manakan tidak, negara masih berada dalam fasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Tiada aktiviti balik kampung merentas negeri. Aktiviti kunjung-mengunjung juga dihadkan. Ini demi memastikan rantaian jangkitan pandemik berkenaan dapat diputuskan demi kebaikan semua rakyat di negara ini.

Sebagai normal baharu, prosedur operasi standard (SOP) kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan pensanitasi tangan perlu dititikberatkan.

Namun begitu, melihat kepada sisi lain, penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan ini turut memberi impak signifikan kepada kehidupan seharian masyarakat.

Ada yang hilang pekerjaan dan ada yang tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa. Rakyat terutama golongan B40 memerlukan perhatian sewajarnya dalam membolehkan mereka bangkit seperti sedia kala.

Prihatin terhadap kebajikan golongan memerlukan, wakil rakyat DAP proaktif dalam memastikan golongan rentan dibantu sebaik-baiknya. Ini dilihat menerusi kempen ‘beli sayur untuk kumpulan rentan’ sebelum ini.

Langkah proaktif wakil rakyat DAP ini membawa kepada penyelesaian serampang dua mata — membantu petani sambil menyantuni rakyat. 

Lebih 150 tan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang telah dibeli pemimpin dan wakil rakyat parti berkenaan untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di kawasan masing-masing dengan harapan, sumbangan itu dapat meringankan beban kewangan keluarga terbabit.

Kempen seumpama ini adalah satu langkah ke depan dalam usaha membantu golongan memerlukan dan rentan, serta pada masa sama, menunjukkan bahawa parti itu bersungguh-sungguh dalam mencari jalan bagi mengurangkan impak perintah kawalan pergerakan kepada rakyat serta golongan petani. 

Selain itu, di Parlimen Teluk Intan, hampir 200 bungkus juadah berbuka puasa disumbangkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini dengan menyasarkan seramai 5,000 penerima bakal mendapat manfaat menerusi inisiatif tersebut.

Selain itu, DAP Teluk Intan juga turut meneruskan pemberian barangan keperluan harian kepada keluarga miskin. 

Wakil rakyat DAP turut tampil menggerakkan inisiatif projek kuih raya dalam usaha membantu golongan memerlukan memperoleh sedikit rezeki sebelum Syawal menjelma.

Projek ini juga mempunyai misi serampang dua mata tersendiri iaitu membantu peniaga kuih raya daripada aspek pemasaran, ia juga bertujuan menyantuni para petugas barisan depan yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik dalam memerangi pandemik terbabit.

Inisiatif ini sekali gus mencerminkan pendekatan proaktif wakil rakyat DAP ini dalam mendengar denyut nadi rakyat yang terjejas terutama menjelang musim perayaan.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bangi telah melaksanakan pengagihan pek makanan kepada penduduk setempat.

Walaupun makanan yang disediakan bukanlah juadah mewah, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan mengisi perut.

Banyak lagi inisiatif yang dilaksanakan wakil-wakil rakyat DAP demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Kesimpulannya, dalam mendepani cabaran-cabaran ketika dan pasca-PKP, wakil rakyat terus prihatin dalam menyumbang khidmat bakti demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Menggunakan cara mereka tersendiri, rakyat di akar umbi terutama golongan yang memerlukan mendapat akses kepada bantuan daripada wakil rakyat DAP di kawasan masing-masing. Semangat solidariti bersama rakyat ini pastinya akan diteruskan dalam masa-masa hadapan. – Roketkini.com