Berita, Rencana

Covid-19: Perak digesa contohi P. Pinang, Sabah beri insentif potongan cukai taksiran

Oleh Prof Dr Abdul Aziz Bari

(Ketua Pembangkang DUN Perak, Adun Tebing Tinggi dan Naib Pengerusi DAP Perak)

Saya mengalu-alukan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Perak pada 20 Mei 2020 walaupun ia sudah lebih dua bulan terlewat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac 2020. 

Setelah meneliti pakej tersebut, saya berasa kecewa kerana ia adalah “terlalu sedikit dan terlalu lambat”.

Pakej yang kononnya bernilai RM71.17 juta ini sebenarnya bukan merupakan suntikan fiskal secara langsung untuk memulihkan ekonomi Perak yang kian merudum sebaliknya bentuk bantuan yang diumumkan adalah berbentuk cebisan dan tiada impak positif yang ketara. Umpamanya kempen “Green planet” hanya memperuntukkan RM790,000 dan 1,500 keluarga terpilih hanya menerima RM526. Apakah tanaman yang boleh diusahakan dengan jumlah peruntukan yang begitu kecil? 

Selain itu, pakej rangsangan tersebut gagal menangani masalah yang sedang dihadapi oleh sektor ekonomi yang terhimpit akibat wabak Covid-19 khususnya industri pelancongan, perhotelan dan industri lain yang berkaitan. 

Pengumuman kerajaan negeri untuk membina “Ban pecah” di Kerian dan “Outdoor Amphithearte” di Taman DR Ipoh sebenarnya langsung tidak mampu untuk memulihkan industri pelancongan yang sedang menghadapi krisis kewangan dan masalah pengangguran besar khususnya banyak hotel-hotel di negeri Perak telah mengisytiharkan penutupan perniagaan seperi Hotel Tower Regency, Hotel Syuen, Hotel Kinta Riverfront, Hotel Ritz Garden, Ipoh dan banyak lagi. 

Saya berasa kecewa industri pembuatan dan perkilangan telah diabaikan oleh pakej tersebut walaupun sektor perkilangan dan perbuatan merupakan pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri. Tiada suntikan modal mahupun rebet cukai diberikan kepada sektor-sektor penting ini. 

Demi meringankan beban pengusaha, Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan negeri Perak mencontohi kerajaan PH Pulau Pinang memberi pengurangan cukai pintu sebanyak RM50 juta kepada warga negeri tersebut serta mencontohi kerajaan negeri Sabah memberi diskaun cukai tanah sebanyak 30% untuk tahun ini. Pakej negeri Perak yang hanya memberi potongan atas “denda lewat bayar” adalah jelas gagal memahami kegawatan ekonomi yang sedang melanda negeri ini. 

Perlu ditegaskan semasa pentadbiran PH selama 22 bulan di Perak, kerajaan PH telah berjaya mencatat keuntungan RM102.3 juta serta berjaya menyimpan rizab negeri hampir RM900 juta. 

Oleh itu, saya yakin kerajaan negeri harus memberi diskaun cukai pintu 20% dan diskaun cukai tanah sebanyak 30% kepada warga Perak pada tahun 2020. Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membuat demikian adalah amat dikesali. – Roketkini.com