Berita, Rencana

Budaya digitalisasi bantu PKS harungi impak Covid-19

Oleh Shukri Mokhtar

(Setiausaha Politik kepada Adun Dusun Tua, Pengerusi DAP Kampung Baru Bt 9)

Kita semua maklum akan akibat pandemik Covid-19 yang melanda di negara ini dan semua kini sedang terasa bahangnya. Dalam menghadapi sesuatu keadaan yang sangat getir dalam struktur ekonomi, pandemik Covid-19 telah memberi kesan yang sangat mendalam bukan sahaja buat negara kita, malah di dunia. 

Antara yang paling menyayat hati adalah gambar yang tular di mana orang ramai beratur panjang di kedai pajak gadai di bulan puasa. Mata pencarian terus hilang dan kehidupan menjadi tidak menentu apatah lagi keadaan pasaran. 

Dalam ekonomi, pasaran itu merupakan sebuah sistem di mana pengeluaran barang dan perkhidmatan itu dipengaruhi oleh kemampuan dan keinginan pengguna yang saling bertukar-tukar. Oleh demikian, perbelanjaan pengguna adalah salah satu pendorong penting untuk pertumbuhan ekonomi negara dan juga global.

Naik dan turun pasaran itu atas dasar perilaku manusia. Justeru, dalam mengelak rantaian jangkitan Covid-19, kita dapat lihat bahawa kaedah jual beli atas talian menjadi tumpuan orang ramai. Ini secara tidak langsung mempercepatkan adaptasi pasaran secara digital. Ia bukanlah sesuatu norma yang baru, namun digitalisasi dalam pasaran itu mendapat peningkatan yang sangat ketara sejak berlakunya pandemik Covid-19. 

Oleh sebab, pengguna bergelut dengan ketidakpastian keadaan masa hadapan menyebabkan tingkah laku perbelanjaan mereka menjadi lebih tidak menentu. Namun, apa yang jelas adalah bahawa mereka telah mengurangkan perbelanjaan atas semua produk dan perkhidmatan yang bukan asas.

Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati bahawa satu-satunya sektor yang memperolehi keuntungan adalah makanan dan minuman yang bukan alkohol pada 27% sementara itu sektor komunikasi dan pendidikan tidak menunjukkan apa-apa perubahan.

Sebaliknya sektor pakaian dan kasut antara yang merudum dalam perbelanjaan (consumption expenditure) dengan penurunan 95%, diikuti dengan pengangkutan pada 89% dan restoran dan hotel pada 86%.

Pandemik Covid-19 ini melumpuhkan usaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pencarian hidup. Justeru, bagi mereka dalam PKS yang masih terlalu konvensional, belum terdedah dalam digitalisasi akan paling perit kesannya. 

Di Selangor, kerajaan negeri telahpun melancarkan tiga inisiatif untuk PKS. Antaranya ialah insiatif PLATS, E-Kitchen dan E-Bazaar Ramadan Selangor Grab. Oleh sebab kebanyakan mereka terjejas mata pencarian akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat meredakan beban mereka dalam membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.


Teknologi digital telah menciptakan satu platform baru dalam dunia perusahaan yang tidak disangkakan, lebih-lebih lagi di masa pandemik ini. Ia sedang berubah daripada globalisasi kepada ekonomi moden yang baru dan tumbuh dari akar umbi masyarakat. Demi kemajuan masa depan, ia sesuatu yang harus dimaksimalkan sebanyak mungkin agar kita tidak ketinggalan. – Roketkini.com