Berita, Rencana

Gugur kes rasuah: Norma baharu kerajaan Muhyiddin?

9 Mei 2018 adalah tarikh keramat apabila kerajaan kleptokrasi runtuh di tangan rakyat.

9 Jun 2020 di bawah kerajaan Muhyiddin Yassin, kita dikejutkan dengan pengguguran 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Peguambela, Francis Ng dilaporkan berkata semua dakwaan terhadap Musa Aman ditarik balik dan beliau “dilepas dan dibebaskan sama sekali”. Untung sabut timbul, kata pepatah Melayu.

Hari ini genap 100 hari pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Topeng mengaburi mata rakyat yang dipakai oleh PN sedikit demi sedikit hampir tertanggal. Secara tidak langsung, kerajaan hari ini membuktikan bahawa mereka begitu efisien dalam “scheme of thing” yang telah disepakati.

Selain menggugurkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram Musa Aman, kita juga mendapat khabar hari ini bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan saman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak wang berjumlah RM1.31 juta daripada Jakel Trading dan Barisan Nasional (BN) Johor Bahru.

Pada Jun tahun lepas, SPRM memfailkan saman sivil bagi melucutkan hak wang terhadap Jakel Trading dan 40 entiti lain untuk mendapatkan semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai berkait dengan 1MDB.

Hari ini, mahkamah telah memutuskan untuk menolak permohonan pendakwaan itu.

Satu demi satu kes rasuah dan penyelewengan terlepas daripada dakwaan atau siasatan lanjut tanpa apa-apa alasan kukuh bermula dengan kes Riza Aziz. Apakah kita hanya menunggu dan melihat kerajaan Muhyiddin menggugurkan kes Presiden UMNO, Zahid Hamidi, atau bekas Perdana Menteri, Najib Razak pula selepas ini?

Janganlah kita berlapang dada dengan naratif Muhyiddin, Raja Scheme of Thing yang cuba memperdaya rakyat, tapi di belakang mengatur catur politik demi terus kekal menjadi Perdana Menteri tanpa mandat. Rakyatlah yang akan menanggung azabnya nanti apabila memandang sepi kes-kes rasuah dan penyelewengan yang digugurkan tanpa sebab kukuh ini.

Esok, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan mula dilaksanakan dan rakyat perlu berdepan dengan norma baru kehidupan serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga pada setiap masa dan tempat agar tidak dijangkiti Covid-19.

Esok PKPP mula dilaksanakan tapi nampaknya, Muhyiddin tidak boleh bertahan lagi dengan membawa norma baru dalam pentadbirannya. Beliau yang dahulunya mendedahkan dan sama-sama menjatuhkan kleptokrasi dalam pentadbiran negara, kini berpegangan tangan, berpeluk cium untuk terus kekal sebagai PM.

Norma baru kerajaan Muhyiddin hanya akan membawa negara dan rakyat seisinya ke jurang kerugian serta kehancuran. Jadi, buka mata dan pasang telinga kerana dengan itu kita pasti dapat melihat “Tok Abah” yang digembar-gemburkan hanyalah seorang manusia yang tamak dan sanggup menjilat ludahnya sendiri demi kuasa. – Roketkini.com