Berita

Kerajaan PH P. Pinang turunkan harga siling rumah mampu milik 10%

Mereka yang memasang impian untuk memilik rumah tetapi dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi kini mampu menarik nafas lega dengan pengumuman yang dibuat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, Jagdeep Singh Deo mengumumkan pemotongan sebanyak 10 peratus ke atas harga rumah mampu milik di negeri ini.

Untuk rekod, harga siling rumah mampu milik di bahagian pulau adalah antara RM150,000 hingga RM300,000, sementara di Seberang Perai Pulau adalah antara RM150,000 hingga RM250,000.

Dengan pengumuman tersebut, kadar siling baru di bahagian pulau adalah antara RM135,000 hingga RM270,000 dan di Seberang Perai pula, RM135,000 hingga RM225,000.

“Harga rumah mampu milik akan dikurangkan 10% dalam tempoh setahun,” ujarnya seperti dipetik Malaysiakini.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan harga pangsapuri kos rendah dan sederhana, masing-masing pada kadar RM42,000 dan RM72,500.

“Ini lebih rendah berbanding negeri-negeri lain yang menaikkan harga bagi kategori ini kepada RM60,000 hingga RM100,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan telah meluluskan projek sektor perumahan masing-masing berjumlah RM250.2 juta dan RM20.75 juta.

Sasar 180,000 unit rumah mampu milik sebelum 2030

Katanya yang juga Adun Datuk Keramat, kedua-duanya peruntukan itu akan digunakan untuk melaksanakan projek perumahan awam dan swasta.

Tambahnya, kerajaan negeri mahu memastikan rumah mampu milik mencukupi dengan sasaran 180,000 unit sebelum 2030.

“Sehingga hari ini, kami ada 105,719 unit, di mana 30,191 telah disiapkan, 24,098 masih dalam pembinaan dan 51,432 masih dalam perbincangan atau menunggu kelulusan,” katanya.

Katanya saiz setiap unit akan dikekalkan pada 850 kaki persegi, namun bagi pemaju yang mahu mengekalkan harga siling rumah mampu milik pada kadar RM250,000 dan RM300,000 perlu membina unit yang lebih luas, iaitu 900 kaki persegi.

“Mereka juga akan menambah kemudahan awam untuk pembeli seperti ruang rekreasi, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, bilik rekreasi untuk warga emas, perpustakaan atau bilik bacaan, gimnasium dan kolam renang.

“Kami juga diminta untuk memastikan kualiti rumah mampu milik mematuhi Sistem Penilaian Kualiti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dengan skor Pembinaan atau ‘Qlassic’ tidak kurang daripada 70 peratus.

“Ini untuk memastikan kualiti pembinaan tetap terjaga walaupun dengan penurunan harga rumah,” katanya. – Roketkini.com