Berita

Adun DAP kekal setia pertahan mandat rakyat

Empat Adun DAP hari ini tampil menafikan khabar angin bahawa mereka akan menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu di Selangor. 

Ini selepas tular senarai 32 Adun Selangor termasuk mereka yang dikatakan akan melompat untuk menumbangkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu. 

“Kami berikrar untuk terus setia kepada DAP, PH dan rakyat. Maka senarai nama yang tular adalah palsu dan tidak sahih. 


“Kami juga menyeru pihak PN perlu hentikan segala perbuatan fitnah kepada kami dan cubaan merampas kuasa kerajaan negeri Selangor daripada PH melalui pintu belakang,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Adun Kota Kemuning, Ganabatirau Veraman; Adun Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong; Adun Teratai, Bryan Lai Wai Chong dan Adun Pandamaram, Tony Leong Tuck Chee.

Tambahnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), mereka sentiasa menjalankan tanggungjawab dan tugas di kawasan masing-masing dengan penuh dedikasi.

“Kami diberi mandat oleh rakyat di bawah PH dan kami tidak akan mengkhianati mandat rakyat,” tegasnya. – Roketkini.com