Berita

Rakyat kecewa Musa Aman bebas 46 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Isu pembebasan Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram minggu lalu terus menjadi buah mulut masyarakat dan mengundang reaksi pemimpin politik. 

Terbaharu, Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan keputusan pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap bekas ketua menteri Sabah itu mengecewakan rakyat khususnya mereka yang mahu Malaysia yang lebih bersih dan telus.

Peristiwa itu juga, kata pakar Perlembagaan itu, seakan-akan menghidupkan semula apa yang pernah dilakukan oleh pentadbiran kleptokrasi bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu membabitkan skandal 1MDB. 

Malah tambahnya, ini juga menandakan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) adalah agen penerus dasar dan kepentingan regim kleptokrat yang telah ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ini sangat memalukan dan mengecewakan.

“Sudahlah pentadbiran PN masuk ikut pintu belakang dan takut ke Parlimen, sekarang mereka meneruskan keputusan melepaskan pencuri dan perasuah. 

“Ini memberi isyarat bahawa akan ada lagi keputusan sedemikian dalam masa terdekat,” katanya kepada Roketkini.

Katanya, kerajaan PN mengambil langkah keterbelakang selain mengenepikan agenda reformasi dan usaha mengangkat institusi penting negara yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. 

“Lebih parah lagi penjenayah dan perasuah akan bermaharajalela,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Perak.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Musa daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah. 

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.

Dalam pada itu, peguam, Syahredzan Johan berkata, keputusan pihak pendakwaan menarik kes tersebut sedikit sebanyak menghakis kepercayaan rakyat terhadap komitmen kerajaan PN dalam melawan rasuah. 

“Saya rasa dari sudut sistem kehakiman jenayah juga, ia ada membawa persepsi negatif,” katanya kepada Roketkini.

Katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, pihak pendakwaan perlu merayu keputusan tersebut. 

“Pada saya, pihak pendakwaan sekurang-kurangnya wajar merayu terhadap keputusan lepas dan bebas (discharge and acquit) yang dibuat oleh Hakim. 

“Setahu saya, pendakwa raya mohon ‘dibebas tanpa dilepaskan’ (DNAA), tetapi diberikan lepas dan bebas. 

“Rayuan ini penting kerana sekiranya terdapat apa-apa bukti selepas ini, tertuduh tidak boleh dituduh semula,” jelasnya. – Roketkini.com