Berita, Rencana

Hannah Yeoh dipanggil ke Bukit Aman: Kerajaan PN tidak boleh ditegur?

Kenyataan Media oleh Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim pada 17 Jun 2020

Sebagai seorang wanita, saya bersimpati terhadap Hannah Yeoh yang dipanggil untuk memberikan keterangan bagi siasatan mengenai kenyataan beliau di laman Twitter. Adakah kerajaan kini adalah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur? Adakah bertanyakan soalan untuk memastikan hak kanak-kanak terlindung juga menjadi satu kesalahan?

Kita semua perlu teliti semula mengapa Hannah mempersoalkan perlantikan Siti Zailah Mohd Yusoff  sebagai Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini sebenarnya akibat kenyataan yang dikeluarkan Siti Zailah sendiri dalam perbahasan Parlimen pada Julai 2017 yang mana beliau mempertahankan perkahwinan bawah umur.

Jika kita imbas kembali, pada Januari lalu mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail telah melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur. Ianya bagi menangani punca-punca perkahwinan bawah umur di peringkat akar umbi.

Pelan yang dirancang itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi serta 58 program dan tindakan bagi menangani punca-punca itu dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu sehingga 2025.

Kita harus peka bahawa perkahwinan bawah umur ini bukan isu agama ataupun isu bangsa. Jika kita lihat statistik perkahwinan bawah umur pada tahun 2017, seramai 1,845 orang kanak-kanak bawah umur telah berkahwin dengan pasangan dewasa. Daripada jumlah ini, 968 orang adalah kanak-kanak bukan Islam manakala 877 orang adalah kanak-kanak beragama Islam. Statistik ini menunjukkan bahawa masalah perkahwinan bawah umur ini adalah isu nasional, dan bukan spesifik kepada masyarakat Islam sahaja.

Pelan strategik yang telah dirangka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah berjaya mengenalpasti beberapa punca yang menyebabkan perkahwinan bawah umur seperti kemiskinan, kurang akses pendidikan, stigma masyarakat yang mana merasakan perkahwinan bawah umur adalah satu cara menyelesaikan masalah, serta undang-undang yang longgar memudahkan perkara ini berlaku. Apakah salah jika seseorang wanita dan juga ibu seperti Hannah mempersoalkan perkara ini kerana mempertahankan hak kanak-kanak yang seharusnya mendapat pendidikan dan memanfaatkan zaman kanak-kanak dengan baik?

Ingat kanak-kanak adalah pelajar bukan pengantin. – Roketkini.com