Berita, Wawancara

DAP, kesetiaan dan demi rakyat

Di tengah-tengah isu lompat parti dalam kalangan wakil rakyat, Ahli Parlimen Raub, TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI menyeru ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk kekal berpinsip.

Tegas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu, dalam politik, seseorang mesti mempunyai pendirian. Dan yang paling penting adalah setiakawan — berat sama dipikul ringan sama dijinjing. 

Bercakap kepada wartawan Roketkini, B. SUFFIAN dan FATIH HASSAN NORDIN, Tengku Zulpuri berkongsi kisah penglibatannya dalam politik, aspirasi selain menjawab pelbagai persoalan berhubung isu-isu semasa.

Mantan timbalan menteri itu turut menceritakan bagaimana beliau didekati pihak tertentu agar menyertai parti pemerintah Perikatan Nasional (PN), yang kini memegang tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan serta beberapa negeri.

Ikuti wawancara lebih setengah jam di kediamannya baru-baru ini.

Boleh Tengku ceritakan serba sedikit perjalanan politik Tengku sebelum bersama DAP?

Saya dari keluarga politik. Ayah saya Tengku Puji ataupun dikenali sebagai Raja Puji adalah mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau sememangnya aktif dalam PAS Pusat ketika itu. PAS ketika itu wajahnya tidak majmuk dari segi komposisi kaum. Parti itu hanya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS setelah saya menyertai DAP. 

Saya melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan perlu ada kerjasama antara parti-parti untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu. Justeru itu, saya tertarik kepada DAP yang merupakan sebuah parti yang membawa aspirasi perjuangan untuk semua kaum. Tetapi ada yang mempunyai tanggapan yang salah bahawa kononnya ia dikuasai orang Cina sedangkan ia adalah parti yang berasaskan ideologi sosial demokrasi yang memberi keadilan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama. Pendek kata, DAP adalah parti untuk semua, parti untuk semua rakyat Malaysia. Saya melihat DAP adalah sebuah parti yang baik, parti yang boleh diketengahkan kepada masyarakat Melayu untuk sama-sama kita membina Malaysia dalam masyarakat yang majmuk. 

Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

Kalau dibandingkan dengan parti lain, ia lebih dikhususkan untuk satu-satu kaum. Kalau kita lihat sejarah Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Tanah Melayu — kita pernah dijajah oleh British dan Jepun. Konsep jajahan yang dibawa British adalah pecah dan perintah. Kita diasingkan mengikut kaum, bahasa dan agama, supaya ada satu puak lain yang akan muncul sebagai hero. Maka wujud UMNO khas untuk Melayu, MCA untuk Cina, dan MIC untuk India. Bila penerangan ataupun ceramah diadakan di kawasan Melayu, mereka akan cakap Melayu. MCA pula akan cerita semangat kecinaan kepada kaum-kaum Cina. MIC pula akan bercerita tentang semangat keindiaan ataupun bahasa mereka. Jadi akan muncul hero-hero dalam setiap kaum.

Jadi saya melihat, cara yang perlu bagi menumbangkan UMNO-BN ketika itu adalah dengan bekerjasama antara satu sama lain melibatkan semua kaum. Kita mesti bersatu, kita tidak boleh berpisah-pisah. Kalau kita berpisah, kita tidak akan dapat menjatuhkan UMNO-BN. 

Apa pandangan Tengku tentang wujudnya pelbagai sentimen yang diulang-ulang sejak zaman berzaman bagi memburukkan DAP?

Apa perniagaan yang paling laku sekali? Yang paling laku adalah “perniagaan” agama. Maknanya kita setiap manusia dengan kepercayaan masing-masing, percaya kepada agama masing-masing. Maka sentimen agama diapi-apikan. 

Perlu ditegaskan bahawa Perlembagaan DAP adalah berlandaskan Perlembagaan Malaysia. Contohnya kesetiaan kepada Raja. DAP menyokong sistem Raja Berpelembagaan.

Sentimen seumpama ini sememangnya sengaja dirancang untuk mengalih tanggapan sebenar terhadap DAP. Perlu ditegaskan bahawa Perlembagaan DAP adalah berlandaskan Perlembagaan Malaysia. Contohnya kesetiaan kepada Raja. DAP menyokong sistem Raja Berpelembagaan. Jadi kita mengikut konsep itu. 

Justeru, sentimen yang mengatakan DAP kononnya cauvinis, komunis atau menentang Islam dan Melayu adalah tidak betul dan fitnah sama sekali. Ini sengaja direka supaya masyarakat Melayu berasa marah dan tidak menyokong DAP.

Baru-baru ini Tengku “dilamar” oleh pihak lawan. Boleh Tengku ceritakan proses tawaran tersebut? 

Sebelum bertanding sebagai Ahli Parlimen Raub, saya adalah Adun Mentakab di Pahang merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ketika itu. Bagi saya, kita mestilah berpolitik secara profesional, walaupun mereka (pihak lawan) berada di barisan pemerintah ketika itu. Saya menganggap kami sebagai pembangkang adalah sebahagian daripada kerajaan. Kami mahu sama-sama membangun negeri Pahang. Jadi cara kami berhujah adalah menjurus kepada agenda untuk membina negara ataupun negeri dan tidak berlandaskan sesuatu yang bersifat personal — “Awak tak betul, ini tak betul” — itu cerita lain. Semua perbincangan perlu berlandaskan fakta. 

Begitu juga saya menanggapi krisis yang berlaku ketika ini, mereka daripada pihak sana kawan saya juga, walaupun mereka dari BN. Saya tak ada masalah dengan mereka. Mereka boleh datang berbincang, bertanya dan berhujah — pujuk rayu (untuk melompat) itu biasa. Mereka akan gunakan isu yang sama setiap kali proses pujuk rayu — “Untuk menegakkan agama, untuk menegakkan Melayu, mengapa tidak Tengku join kami?” — Tetapi saya berhujah bahawa saya berjuang bukan untuk satu-satu kaum sahaja, saya berjuang untuk bangsa Malaysia, tak kira Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Iban dan Orang Asli. Kita semua kaum perlu berjuang bersama. 

Saya berjuang bukan untuk satu-satu kaum sahaja, saya berjuang untuk bangsa Malaysia, tak kira MelayuCinaIndia, Kadazan, Bidayuh, Iban dan Orang Asli . Kita semua kaum perlu berjuang bersama. 

Bagi saya jawatan, pangkat ataupun kedudukan itu bukan segala-galanya. Yang kita mahu adalah untuk mewujudkan satu Malaysia baharu ataupun satu politik yang sihat untuk generasi yang akan datang. Ini adalah satu pengorbanan generasi sekarang ataupun pemimpin-pemimpin sekarang. Kalau kita memikirkan hanya kedudukan dan kepentingan kita sendiri tanpa memikirkan kepentingan anak, cucu dan cicit kita akan datang, politik Malaysia akan menjadikan keterbelakang. Justeru itu, kita perlu berkorban untuk masa hadapan. 

Saya ada pendirian saya. Kalau saya hanya memikirkan jawatan, sudah lama saya melompat ke pihak lawan. Tidak perlu jadi Ketua Pembangkang Pahang dulu, dari awal saya boleh masuk kerana saya dari keluarga orang politik. Ayah saya berpolitik lebih daripada 40 tahun, dari saya kecil lagi. Kalau kita memikirkan jawatan, baik kita masuk ketika itu. 

Kehidupan ini bukan tentang jawatan, masuk politik adalah tanggungjawab. Parti politik ini adalah satu platform untuk kita menuju kepada kebaikan. Jadi saya mengambil kaedah itu. Kita perlu ada prinsip. Dan kedua kita mesti ada kasih sayang antara parti kita sendiri, semangat setiakawan. Tidak akanlah kita sanggup tikam kawan kita kerana jawatan.

Apa seruan Tengku kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang mungkin didekati dan ditawarkan habuan untuk melompat?

Setiap Ahli Parlimen ada pendirian. Pun begitu, kita mestilah bersikap profesional. Kadang-kadang kawan (dari parti lawan) ajak jumpa kita tak boleh tolak. Boleh jumpa, tapi cuma jumpa dalam keadaan yang terbuka, bukan dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah ataupun prasangka yang buruk. Boleh berjumpa dan bersembang, tiada masalah. 

Bagi peluang mereka berhujah dan kita pula keluarkan hujah balas kita. Kita berhujah ini bukan di Dewan sahaja, di luar pun kita ada hujah juga. Kawan masih kawan. Saya menghormati kawan, sebab dalam politik segalanya mungkin. Hari ini mereka lawan, esok mungkin jadi kawan kita.

Dalam politik kita mesti ada pendirian, yang paling penting adalah setiakawan — berat sama dipikul ringan sama dijinjing. 

Dalam politik kita mesti ada pendirian, yang paling penting adalah setiakawan — berat sama dipikul ringan sama dijinjing. 

Semasa PH mentadbir, sentimen kaum dan agama diapi-apikan. Namun setelah PN merampas kerajaan, isu-isu itu reda. Pada pandangan Tengku mengapa ini terjadi?

UMNO-PAS sebelum ini melaung-laungkan kononnya mereka berjuang demi Melayu dan Islam. Tetapi kalau diteliti, selama 22 bulan PH mentadbir negara, sebenarnya telah banyak perkara yang telah dilakukan untuk orang Melayu dan Islam. Itu perlu diteruskan jika ditakdirkan PH atau PH plus kembali mentadbir Putrajaya. 

Dalam 100 hari Perikatan Nasional (PN) memerintah, apa yang mereka sudah lakukan? Kalau sebelum ini ada “parti agama” mengatakan “Oh, kita kena haram ini, haram itu” tetapi sekarang setelah dapat kuasa, mengapa kamu tidak lagi bersuara? Mengapa kamu senyap? Kerana kamu kini bersama UMNO dalam kerajaan? 

Realitinya, bukan mudah untuk mentadbir. Semasa kerajaan PH mentadbir, sengaja isu kaum dan agama dimainkan. Contohnya isu Allahyarham Muhammad Adib. Mengapa tidak ada penyelesaian sampai sekarang? Isu-isu yang lain, mengapa tiada penyelesiaan? Masa PH dulu isu itu dimomokkan dan dimuntahkan supaya orang Melayu dan Islam marah, tetapi sekarang mengapa senyap? 

Kita nampak sentimen ini seolah-olah dicipta bagi untuk menjatuhkan PH. 

Apa pandangan Tengku terhadap PAS bersekongkol dengan UMNO?

Saya agak sedih. Bila kamu (PAS) dalam keadaan “A” gunakan dalil “A”, kalau di “B” gunakan dalil “B”. Dalil ini berubah-rubah ikut sesedap rasa. Sekarang ini kamu dalam kerajaan, apa yang kamu boleh buat? Tolong jawab. Walaupun kamu tiada kuasa penuh tetapi kamu kini sebahagian daripada kerajaan. Apa kamu buat daripada apa yang dilaung-laungkan? 

Bukan saya hendak condemn, tetapi dalam masa dua tiga bulan ini, walau tiada publisiti saya tetap mengambil tindakan menghubungi pihak tertentu. Contoh isu gajah berkeliaran di Rompin, Kuala Lipis — banyak berlaku. Saya tidak nampak tindakan daripada kerajaan PN. Tindakan yang lambat, menteri pun tidak cakap apa-apa dan cuma senyap. Kita bukan mahu mempolitikkan perkara ini tetapi mereka sepatutnya peka dan turun padanglah. – Roketkini.com