Berita

Hannah perjelas isu hantaran media sosial

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh akan hadir memberi keterangan di Bukit Aman pada Selesa depan bagi membantu polis dalam siasatan berkaitan dua hantaran di media sosial.

Hannah berkata, beliau disiasat mengikut Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komuniakasi dan Multimedia berhubung satu poster yang tular menggunakan gambarnya bersama satu kenyataan palsu.

“Saya dengan segera menjelaskan dalam Facebook saya bahawa kenyataan itu bukan kenyataan saya dan ianya tidak benar sama sekali. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan dalam poster tersebut bukan kenyataan saya dan adalah palsu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa pihak polis sedang menyiasat ciapan Twitter saya bertarikh 9 Mac mengenai status Pelan Strategik Kebangsaan Menangani Perkahwinan Bawah Umur dan saya sedia memberi kerjasama penuh kepada polis berkenaan perkara ini juga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemimpin-pemimpin wanita muda DAP semalam menzahirkan rasa simpati dan solidariti ke atas Hannah.

Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim mempersoalkan sama ada kerajaan hari ini merupakan sebuah kerajaan yang tidak boleh dibidas dan ditegur.

Sementara Ahli Jawatankuasa DAP Wanita Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid pula menyeru kerajaan agar tidak menghalang ahli-ahli Parlimen daripada menjalankan tugas mereka sebagai wakil rakyat. — Roketkini.com