Berita

Tol PLUS kurang 18%: Bukti iltizam PH hapus tol

Adun Ketari, Young Syefura Othman hari ini secara ikhlas bertanya kepada warga Bentong dan rakyat negeri Pahang sama ada mereka mahu dan bersetuju agar Tol Bentong dihapuskan.

Jika mahu dan bersetuju, beliau mengajak mereka agar bersamanya untuk terus mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghapuskan tol tersebut.

Selama 22 bulan, beliau menjelaskan, Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan komitmen dengan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik.

Menurutnya, langkah itu adalah bagi mengambil alih setiap konsesi lebuhraya bertol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

“Kalau diberi lebih masa, saya pasti akan ada kemajuan dalam usaha untuk hapuskan tol Bentong. Kami juga tidak berjanji, hari ini menang, esok tol akan dihapuskan,” katanya.

Pada Februari lalu, tambahnya, kadar tol bagi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) berjaya diturunkan sebanyak 18 peratus.

PH juga mengumumkan akan mengambil alih empat konsesi lebuhraya bertol di Lembah Klang, tambahnya.

Sebagai wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari dan di bawah Parlimen Bentong, jelasnya, beliau telah menunjukkan komitmennya terhadap perkara ini.

Antaranya, menurut beliau, dengan memohon secara terus kepada Kerajaan Pusat termasuk kepada Perdana Menteri untuk laksanakan janji ini dan beberapa projek infrastruktur lain di Bentong.

Semasa taklimat Belanjawan 2020 bersama Menteri Kewangan, saya turut desak perkara sama. Menteri Kewangan kata cara yang digunakan untuk Lebuhraya PLUS dan empat konsesi lebuhraya bertol di Lembah Klang akan digunakan untuk lebuhraya lain termasuklah untuk Lebuhraya Karak.

“Saya telah minta keutamaan diberikan kepada Lebuhraya Karak yang sudah kutip tol lebih daripada 42 tahun dan manfaat besar bukan sahaja warga Bentong malah 3 negeri di Pantai Timur,” katanya. – Roketkini.com