Berita, Rencana

6 fakta tentang DAP yang disorok cybertrooper UMNO-PAS

DAP merupakan parti politik sah yang telah diluluskan pendaftarannya pada 18 Mac 1966. Ia adalah sebuah parti yang terbuka keahliannya kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, gender dan wilayah.

Dengan ideologi sosial demokrasi, DAP tegar berjuang demi keadilan, demokrasi, hak asasi, peluang saksama dan hak-hak sama yang sah. Parti ini juga komited untuk membawa rakyat bersama negara ke arah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini, DAP telah menjadi mangsa serangan tanpa asas dengan label-label serta tanggapan-tanggapan tertentu. Ini termasuk menuduh DAP kononnya cauvinis, rasis, komunis, anti-Melayu dan anti-Islam.

Sehubungan itu, Roketkini menyenaraikan enam fakta tentang DAP yang disorok oleh cybertrooper UMNO-PAS.

1. DAP amal sosial demokrasi

DAP menolak komunisme. Fahaman komunis adalah satu ideologi yang ditolak sepenuhnya oleh DAP dan pimpinannya sejak ia ditubuhkan.

Ideologi DAP adalah sosial demokrasi yang mengambil jalan tengah dalam aspek-aspek ekonomi, politik dan sosial. DAP mahu semua rakyat makmur, maju dan aman dalam sebuah masyarakat yang bersatu hati walau berbeza budaya, agama, gender dan wilayah.

2. Junjung kedudukan Islam sebagai agama rasmi

DAP menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi, dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas.

Malah, perlembagaan DAP menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 sebagai undang-undang tertinggi di negara kita.

3. Menerima kedudukan istimewa Melayu

DAP menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu. Dalam konteks asal, ia bertujuan membantu orang Melayu yang ketinggalan dalam pelbagai bidang sewaktu Malaya mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun lalu.

Yang dikritik bukan kedudukan tersebut tetapi amalan rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman yang dilakukan oleh UMNO atas nama Melayu.

4. DAP untuk semua kaum

DAP tidak berjuang kerana kaum atau agama tertentu. Ia terbuka kepada semua kaum. Malah, DAP kini mempunyai wakil rakyat berketurunan India yang terbanyak dalam kalangan semua parti di Malaysia. DAP juga mempunyai ramai ahli dan pemimpin Melayu, serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sungguhpun begitu, memang kebanyakan ahli DAP berketurunan Cina.

DAP berjuang demi keadilan sosial, kebebasan dan peluang saksama tanpa mengira kaum atau agama. Ia terus gigih berusaha mendekati semua rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu, India, Cina Kadazandusun, Iban, Bidayuh, Bajau, Melanau, dan kaum-kaum Bumiputera lain.

5. Menerima Perdana Menteri beragama Islam

Walaupun Perlembagaan Persekutuan membenarkan seorang Perdana Menteri dilantik daripada mana-mana kaum dan agama, DAP menyokong seorang pemimpin Melayu Islam yang layak, berwibawa, beramanah dan berprinsip, sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ini berasaskan realiti masyarakat di mana orang Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia.

6. DAP sebagai salah satu rakan kongsi dalam Pakatan Harapan

Dakwaan DAP memperalatkan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan adalag tidak benar dan bohong semata-mata. Tuduhan ini yang sering dilemparkan oleh UMNO dan PAS untuk menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang menentang UMNO dan PAS sebagai tidak bijak, tidak mampu berfikir sendiri dan tidak faham politik. Niat tuduhan ini ialah untuk menimbulkan was-was dalam kalangan orang Melayu terhadap DAP.

Setelah Kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan terbukti bahawa DAP bukan parti dominan, dan merupakan rakan kongsi dalam sebuah kerajaan yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan. – Roketkini.com