Berita, Rencana

DAP pegang prinsip utamakan rakyat

Oleh Farid Maulud

(Ahli Parlimen Belia Malaysia dan Setiausaha Publisiti Cawangan DAP (Flat Uda))

Dalam dua tiga hari ini DAP teruk digasak oleh pihak-pihak tertentu seolah-olah DAP kini telah hilang prinsip perjuangan terhadap Pakatan Harapan (PH) kerana tegas memilih jalan keluar dalam perjanjian PH Plus mengenai siapa seterusnya calon Perdana Menteri Malaysia ke-9. Umum telah mengetahui dalam sidang mesyuarat PH pada tempoh hari Majlis Pimpinan Tertinggi PH telah mengemukakan dua opsyen untuk diterima semua komponen dalam PH.

Masa diberikan seminggu untuk semua parti komponen dalam PH Plus untuk memberikan kata putus dan ditunggu dengan penuh kesabaran bukan sahaja dari kalangan pimpinan parti komponen tetapi juga rakyat Malaysia yang memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk terus menerajui Negara. Namun, PKR tidak memberi kata putus kepada Pakatan Harapan selepas masa tamat.

DAP tidak mampu melihat rakyat tertunggu-tunggu lagi. Selama 54 tahun perjuangan DAP memegang prinsip untuk mengutamakan rakyat terlebih dahulu berbanding apa pun. Mandat rakyat harus dihormati, melengahkan sama seperti memandang enteng hak rakyat.

Oleh sebab itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke telah mengeluarkan kenyataan yang mana DAP memilih opsyen kedua iaitu memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Keputusan ini dibuat atas faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mempunyai sokongan penuh dari Bersatu dan Warisan. Tetapi dengan Dr Mahathir, ada peluang untuk menjadi realiti. Jangan salahkan Dr Mahathir atau DAP kalau Anwar sendiri yang tak cukup sokongan, tapi tanyalah kepada dirinya sendiri mengapa ada yang enggan terima buat masa ini.

Faktor yang lebih penting perlu diutamakan iaitu mandat rakyat yang dirampas oleh Perikatan Nasional (PN) wajib diambil semula sebelum banyak lagi kerosakan dilakukan oleh mereka. Kita dapat melihat dengan pedih kerosakan dalam masa tiga bulan ini, bayangkan kalau tiga tahun!

DAP menyokong opsyen kedua tidak bermakna DAP telah hilang prinsip perjuangan atau semangat setiakawan terhadap Anwar yang dimomokkan sesetengah pihak. Bahkan DAP tidak pernah berniat untuk membelakangi janji PH yang ingin mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia. Sekian lama DAP teguh bersama Anwar, bukan hanya bersama dalam perjuangan reformasi melawan regim UMNO-BN tetapi juga membelanya di mahkamah melalui mendiang Karpal Singh sebagai peguamnya.

Jika kini ada kumpulan tertentu yang menuduh DAP telah hilang prinsip perjuangan dan seolah-olah menikam Anwar dari belakang, saya kira tuduhan ini amatlah tidak wajar dilemparkan kepada DAP. Tetapi apa yang berlaku ini hanya akan membuat Anwar jauh dari kerusi Perdana Menteri, bukannya semakin dekat. DAP harus pragmatik, biar dicaci dihina, asalkan cari jalan penyelesaian paling menguntungkan rakyat.

Analogi mudah, lima yang mendapat kepercayaan rakyat dan undian keseluruhan adalah lebih baik dari tiga yang hanya akan kekal sebagai pembangkang. Benar setiap parti perlu tegas dengan pendirian dan mempunyai prinsip tersendiri. Prinsip bukan sekadar untuk menjadikan Anwar mencapai cita-cita 20 tahunnya sebagai Perdana Menteri, tetapi prinsip juga bermaksud memperjuangkan rakyat seperti 54 tahun yang lalu ketika DAP ditubuhkan. Namun, bila berdepan dengan pilihan yang belum tentu menjayakan cita-cita seseorang atau mencelakakan rakyat. Yang manakah perlu diutamakan? Sudah tentu rakyat. – Roketkini.com