Berita, Rencana

Lantik syarikat konsesi tanpa tender terbuka: PH Perak tuntut penjelasan Peja

Ketua Pembangkang DUN Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari menuntut penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pemberian konsesi penswastaan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal kepada syarikat bermasalah tanpa melalui proses tender terbuka.

Beliau yang mewakili Pakatan Harapan (PH) Perak mendakwa kerajaan negeri memberikan konsesi tersebut kepada Syarikat Maju Perak Bhd yang disenaraikan Bursa Malaysia sebagai syarikat bermasalah. 

“Adakah ini merupakan taktik kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelamatkan atau ‘bail out’ Syarikat Maju Perak Bhd?” soalnya yang juga Adun Tebing Tinggi dalam kenyataan, hari ini. 

“PH Perak juga menuntut penjelasan terbuka dari Menteri Besar mengapa kerajaan negeri memberikan konsesi penswastaan ini kepada Syarikat Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd dari Selangor yang hanya ditubuhkan pada tahun 2017 dan sedang mengalami kerugian sebanyak RM5,737 dengan jumlah aset saham syarikat hanya bernilai RM500 ribu sahaja.”

Jelas Aziz Bari keputusan penswastaan yang didakwa dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 3 Jun lalu itu dibimbangi akan menyebabkan kenaikan caj perkhidmatan dan meminggirkan peranan 15 kerajaan tempatan di negeri itu.

“Oleh kerana konsesi penswastaan ini tidak telus, sekiranya mutu khidmat yang ditawarkan oleh syarikat swasta tidak memuaskan hati, adalah sukar untuk rakyat membuat aduan kepada kerajaan tempatan dan syarikat swasta yang berstatus monopoli tidak diwajib memainkan peranan khidmat sosial kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Aziz Bari turut menuntut penjelasan Ahmad Faizal mengapa keputusan pemberian konsesi tersebut dibuat tanpa sebarang pembentangan pada sidang DUN. 

“PH Perak menuntut penjelasan Menteri Besar setelah kerajaan negeri PN menswastakan khidmat pemotongan rumput, pembersihan longkang dan kini pula pembuangan sampah tanpa tender. 

“Rakyat kini berasa peranan 15 kerajaan tempatan untuk memberi khidmat kepada rakyat telah terpinggir dan PBT telah dijadikan ‘unit pungutan cukai’ tanpa tawaran khidmat asas hakiki. 

“Apa akan berlaku kepada nasib kakitangan kerajaan tempatan khususnya pekerja bawahan yang dulu terlibat dengan khidmat asas seperti tersebut di atas? 

Sehubung itu, katanya, PH Perak memberikan masa 24 jam untuk kerajaan negeri memberi penjelasan terbuka sebelum mengambil tindakan wajar untuk membela kepentingan awam. – Roketkini.com