Berita, Rencana

‘Ketahui siapa sebenarnya kawan, lawan’

Kenyataan Bersama Amanah dan DAP

Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berpandangan bahawa sebarang kombinasi parti untuk memulihkan mandat rakyat mestilah melibatkan parti-parti asal ‘Pakatan Harapan (PH) Plus’ yang telah mendapat undi dan sokongan rakyat pada 9 Mei 2018. Parti-parti ini adalah Amanah, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Warisan dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam parti Bersatu.

Tidak boleh ada sebarang perjanjian atau cubaan untuk membuat perjanjian dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin, konspirator utama rampasan kuasa Langkah Sheraton. Sebarang perkiraan yang melibatkan Hamzah, tetapi mengesampingkan Warisan dan kumpulan Dr Mahathir adalah tidak boleh diterima dan tidak berasaskan prinsip.

Adalah penting bagi parti-parti PH Plus untuk mencapai kesefahaman tentang siapakah musuh sebenar. Amanah dan DAP berpegang bahawa Warisan dan kumpulan Dr Mahathir dalam Bersatu bukanlah musuh. Sebaliknya mereka adalah sekutu dalam perjuangan menentang gabungan kleptokratik Perikatan Nasional.

Sebaliknya, kami berpandangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Najib Razak dan Hamzah Zainuddin lah yang merupakan dalang jahat merencana rampasan kuasa Langkah Sheraton demi membebaskan pemimpin Umno daripada pendakwaan rasuah dan memberi talian hayat kepada pentadbiran kleptokratik sebelum ini; yang dibantah tegas oleh rakyat Malaysia dalam PRU ke-14. Justeru itu, tidak boleh ada sebarang rundingan pembentukan kuasa dengan kumpulan pemimpin ini.

Pada asasnya, kami ingin supaya rakan-rakan mengetahui siapa sebenarnya kawan dan lawan. Kegagalan membezakan antara kawan dan lawan akan membawa kita ke arah kehancuran yang tidak terbendung. – Roketkini.com

Salahudin Ayub (Timbalan Presiden Amanah)

M Kula Segaran (Naib Pengerusi DAP)