Berita, Rencana

Melayu dalam DAP

Sejak penubuhannya pada 1966, DAP memiliki banyak pemimpin dan calon daripada pelbagai kaum termasuk Melayu.

Sebagai contoh, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 iaitu pilihan raya pertama disertai DAP menyaksikan parti ini meletakkan 10 calon Melayu iaitu sembilan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen.

Dua daripada mereka berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Selepas itu, ramai calon Melayu DAP telah memenangi kerusi DUN dan Parlimen termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor.

Bekas pemimpin kesatuan sekerja, Ahmad Nor menjadi ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu yang pertama selepas memenangi kerusi Bayan Baru, pada 1990.

Dalam PRU 2013, DAP meletakkan empat calon Melayu di tiga kerusi Parlimen iaitu Zairil Khir Johari di Bukit Bendera, Ariff Sabri Abdul Aziz di Raub, Mahdzir Ibrahim di Tanjung Piai dan satu kerusi DUN Pahang melibatkan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Mentakab.

Selepas itu, DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014.

Bagi PRU 2018, calon-calon Melayu DAP untuk kerusi DUN bertambah kepada sembilan.

Mereka ialah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Edry Faizal (Dusun Tua), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) tetapi kini telah meninggalkan parti, Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Rara (Ketari), dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis).

Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub.

Kesemua kerusi kecuali Pulau Manis telah dimenangi.

Malah, Zairil, Dr Abdul Aziz, Norhizam, dan Sheikh Omar telah dilantik oleh kerajaan negeri masing-masing sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri.

Tengku Zulpuri pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Selain Zairil yang bersama dengan kerajaan negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, kesemua penjawat kerajaan ini gugur jawatan mereka selepas perubahan kerajaan melalui pengkhianatan pada Februari dan Mac 2020. – Roketkini.com