Berita

Semua keputusan PH dibuat secara konsensus – Tengku Zulpuri

Dalam Pakatan Harapan (PH) atau PH Plus, semua keputusan dibuat secara konsensus dengan rakan gabungan politik, bukan berdasarkan siapa memiliki majoriti dalamnya.

Itu penegasan Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Ia bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh sebuah portal milik parti kerajaan berhubung mengapa DAP tidak menamakan calon perdana menterinya.

Menurutnya, DAP tidak menamakan calon perdana menteri kerana menerima hakikat politik.

Secara sinis, Ahli Parlimen Raub itu berkata, DAP juga tidak mampu menarik ahli Parlimen dengan tawaran jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) atau agensi kerajaan untuk meraih kuasa.

Ini katanya, akan membelakangkan prinsip serta reformasi PH yang telah dijanjikan kepada rakyat.

“Sebelum ni mereka anggap DAP sebuah parti Cina tetapi bila ada pula ahli Parlimen Melayu yang menggangotainya, tidak kurang yang cuba mencari biodata saya untuk pengetahuan lanjut.

“Di kesempatan di sini saya ingin menjelaskan bahawa tidak kurang daripada lapan Adun DAP ialah Melayu, walaupun buat masa ini saya seorang sahaja ahli Parlimen Melayu,” katanya kepada Roketkini.com

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri berkata, rakyat boleh menilai ahli-ahli Parlimen yang sebelum ini menggunakan pelbagai dalil untuk menunjukkan mereka memperjuangkan agama dan bangsa namun apabila sudah mendapat jawatan, senyap sementara dalil lain pula digunakan ketika ini.

Ini hikmahnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), katanya.

“Pesan saya kepada portal itu, tolong ingatkan kepada ahli-ahli Parlimen yang dahulu lantang dalam Parlimen dan sekarang menjadi sebahagian daripada pemerintahan, supaya buat apa yang diucapkan.

“Jangan selepas dapat jawatan hanya membisu,” katanya. – Roketkini.com