Berita, Rencana

Kebiasaan baru speaker Dewan Rakyat

Oleh Fakhrurrazi Rashid

(Koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa)).

Pada 27 Jun 2020, Mohamad Ariff, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YDPR) mengesahkan Perdana Menteri, Muhyuddin Yassin telah menghantar usul untuk menamatkan khidmat YDPR dan timbalan YDPR, iaitu Nga Kor Ming. Berita ini telah mewujudkan pelbagai reaksi dan polemik ketika kedudukan politik negara masih tidak stabil.

Mohamad Ariff merupakan YDPR kesembilan sejak enam dekad parlimen Malaysia ditubuhkan. Pemilihan beliau sebagai YPDR pada Julai 2018 tidak dicabar oleh pihak pembangkang yang tidak mengusulkan nama calon untuk YPDR.

Meskipun Mohamad Ariff telah menunjukkan komitmen dalam reformasi parlimen, namun kedudukan beliau tergugat selepas pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) membawa usul mahu menamatkan khidmat beliau sebagai YPDR pada sidang parlimen akan datang tanpa sebarang penjelasan dan sebab yang kukuh.

Dalam konteks ini, terdapat dakwaan bahawa ia merupakan satu tindakan pihak eksekutif untuk mendominasi badan perundangan akibat kedudukan kerajaan persekutuan masih tidak stabil. Langkah ini sebagai satu survival pihak jemaah menteri di parlimen. Perkara ini tidak boleh dilihat dalam aspek politik sahaja, tetapi ia perlu mengambil kira lunas-lunas perlembagaan persekutuan dan konvensyen parlimen yang telah diamalkan beberapa negara demokrasi yang lain.

Perkara 57(2)(c) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa kuasa untuk menentukan kekosongan YPDR terletak kepada sokongan atau undian ahli parlimen. Perlu difahami bahawa lantikan seorang YPDR dan timbalan-timbalannya perlu melalui undian di parlimen berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat 6, Dewan Rakyat.

Akibat dominasi eksekutif dalam urusan parlimen selama hampir enam dekad dibawah kerajaan BN, maka YPDR selalunya datang daripada pihak yang cenderung menyokong kerajaan. Perkara ini menjadi persoalan besar tentang keabsahan dan kebebasan seorang YPDR untuk bertindak secara neutral dalam membuat keputusan sejak sekian lama.

Amalan ini tidak lagi relevan kerana fungsi parlimen Malaysia selepas 9 Mei 2018 telah membuka lembaran positif dalam usaha memperbaharui institusi parlimen sebagai badan semak dan imbang yang efektif. Malah, jika seorang YPDR itu bukan daripada parti pemerintah, ia bukan satu kesalahan dari segi undang-undang dan perlembagaan persekutuan.

Apa yang pernah berlaku di parlimen UK?

Pada 17 April 2019, John Bercow, Speaker bagi House of Commons United Kingdom (UK) menerima tekanan sebuah usul daripada ahli parlimen backbancher Konservatif untuk menyingkirkan beliau selepas mengeluarkan kenyataan berbeza dengan dasar kerajaan dalam isu Brexit. Beliau tidak bersetuju sekiranya UK akan keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Pada November, John Bercow (bawah) memutuskan untuk letak jawatan kerana tekanan daripada kerajaan Konservatif. Selama 10 tahun berkhidmat sebagai speaker, Bercow telah berjaya mengubah fungsi parlimen dalam era politik moden dan memberikan ruang kepada ahli parlimen backbancher untuk membahaskan isu di House of Commons. Namun, seorang speaker yang tegas seperti Bercow selalunya menjadi ancaman kepada sebuah kerajaan yang tidak stabil dan mahu mendominasi parlimen.

Pada 4 November 2019, House of Commons telah memilih Sir Lindsay Hoyle sebagai speaker parlimen yang baharu. Sir Lindsay Hoyle merupakan timbalan speaker kepada John Bercow selama 10 tahun, menang dengan undian sebanyak 325 undi pada proses undian kali keempat mengalahkan enam calon yang lain.

Meskipun parti pemerintah dalam parlimen UK hari ini ialah parti Konservatif, tetapi mereka tetap memilih Sir Lindsay yang merupakan ahli parlimen Parti Buruh untuk menjadi speaker House of Common. Ketiga-tiga timbalan speaker juga datang daripada ahli parlimen yang berbeza parti, iaitu Dame Eleanor Laing (Konservatif), Dame Rosie Winterton (Buruh) dan Nigel Evans (Konservatif). Ketiga-tiga mereka ini diundi oleh ahli parlimen House of Commons.

Konsep speaker dan timbalan speaker House of Commons amat menarik. Speaker House of Commons tidak semestinya dilantik atau dipilih dalam kalangan parti pemerintah kerana prinsip utama menjadi speaker ialah beliau mampu menjadi gatekeeper kepada parlimen dan demokrasi negara atas kepentingan rakyat.

Tak salah YPDR bukan daripada parti pemerintah

Perkara yang terbaik buat parlimen Malaysia setakat ini adalah untuk mengekalkan Mohamad Ariff sebagai YPDR dan kedua-dua timbalan YPDR. Tidak munasabah kerajaan PN cuba menukar YPDR memandangkan Mohamad Ariff telah menunjukkan kebebasan, ketegasan dan kematangan dalam menjalankan tugas mengikut kepentingan parlimen.

Ini sepatutnya menjadi ‘kebiasaan baharu’ parlimen Malaysia apabila badan eksekutif menghormati YPDR dan timbalan YPDR yang mempunyai berbeza pendapat dan daripada parti politik. Perkara penting yang harus dinilai adalah sejauh manakah seorang YPDR dan badan eksekutif dapat melancarkan urusan parlimen secara demokratik dan terbuka, tanpa ada tekanan akibat kepentingan politik.

Saya menjangkakan bahawa usul kerajaan untuk menukar YPDR ini akan menjadi agenda pada hari pertama parlimen bersidang, iaitu 13 Julai 2020 atau selepas perbahasan titah diraja tamat pada hari Isnin, 10 Ogos 2020, iaitu minggu kelima Dewan Rakyat bersidang.

Walau apa pun, usul untuk menukar YPDR oleh kerajaan PN ini dilihat tidak kena dengan keutamaan semasa negara yang memerlukan parlimen bersidang bagi menghadapi cabaran Covid-19. Ia juga akan memberi risiko kepada kerajaan tentang hala tuju dan matlamat mereka di parlimen yang sepatutnya memberi tumpuan kepada isu ekonomi menghadapi ‘normal baharu’ akibat Covid-19.

Apa yang saya harapkan ialah setiap ahli parlimen Dewan Rakyat bertindak dengan melihat pencapaian Mohamad Ariff sebagai seorang YPDR yang berwibawa dalam membawa parlimen ke arah demokrasi yang matang melebihi perbezaan parti politik. Tidak munasabah untuk menamatkan seorang YPDR yang komited dalam membawa pembaharuan.

Jika Mohamad Ariff dikekalkan oleh ahli parlimen, maka parlimen Malaysia telah mencipta satu sejarah yang baik dalam membawa amalan demokrasi berparlimen yang matang. Jika tidak, maka ia akan memberi satu precedent yang tidak efektif bagi sistem demokrasi berparlimen negara untuk masa hadapan. — Roketkini.com