Berita

Kor Ming tunjuk solidariti, letak jawatan timbalan speaker

Nga Kor Ming mengumumkan peletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat sebagai simbol solidariti kepada Tan Sri Ariff Md Yusof.

Terdahulu, Ariff digugurkan sebagai speaker Dewan Rakyat menerusi satu usul yang dibawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat bantahan keras pihak pembangkang.

“Pagi ini kita menyaksikan pertama kali dalam sejarah Malaysia, speaker yang beribawa telahpun dilucutkan (jawatan) tanpa sebarang sebab.

“Oleh kerana itu, dengan bersolidariti penuh bersama dengan Tan Sri Ariff dan menyatakan prinsip – saya hanya akan berkhidmat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat – maka, dengan ini saya mengumumkan, saya meletak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat dengan serta merta,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Kekosongan speaker dan timbalan speaker masing-masing diisi oleh mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sementera itu, Ariff berkata tindakan kerajaan PN menyingkirkan beliau adalah suatu tindakan yang tidak pernah berlaku di mana-mana negara sebelum ini.

“Apa yang berlaku sekarang di luar pada biasa dan saya tak tahu sama ada terdapat negeri-negeri lain melainkan Trinidad dan Tobago yang melakukan perkara sebegini.

“Trinidad usir speaker pada 1990-an sebab speaker itu lakukan kesalahan rasuah.

“Tapi tidak ada apa-apa contoh lain selama 800 tahun tak pernah seorang speaker diusir sebelum tamat tempoh satu-satunya parlimen,” tegasnya dalam sidang media sama. — Roketkini.com