Berita

Terus perjuang tegakkan mandat rakyat

Mandat rakyat 2018 mestilah dihormati dan ditegakkan, tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) akan terus berjuang untuk tegakkan mandat ini sungguhpun ada pihak yang berpaling tadah.

“Apakah falsafah Kerajaan Perikatan Nasional? Adakah mereka ada satu manifesto? Adakah mereka ada satu dasar? Kecuali untuk kekal kuasa…,” katanya ketika perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, PH dipandu oleh Manifesto Pakatan Harapan.

“Selalunya disebut bahawa betapa baiknya Perikatan Nasional. Akan tetapi lupa pula bahawa banyak dasar ini adalah daripada Pakatan Harapan.

“Termasuk menteri-menteri yang dulu dalam Pakatan Harapan sekarang dalam Perikatan Nasional. Mengapa mereka berpaling tadah?” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, semasa memegang jawatan Menteri Kewangan, beliau tidak pernah meluluskan penjualan sebarang aset kerajaan.

Menurut beliau, sekiranya berlaku penjualan, ia adalah di bawah tangan menteri lain dan bukan di bawah menteri kewangan.

“Saya hendak sebut di sini, kalau sebut perkataan aset-aset sama ada daripada Khazanah ataupun Mitsui, ia bukanlah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan.

“Jikalau hendak tanya menteri mana, tanyalah Yang Berhormat Gombak (Mohamed Azmin Ali),” katanya

Untuk rekod, Azmin merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan.

Mohamed Azmin kini memengang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan tumbangnya Kerajaan PH.

Bercakap tentang ketulusan, Guan Eng berkata, kerajaan harus terus melaporkan nilai hutang langsung dan juga liabiliti lain sepertimana yang dilakukan oleh Kerajaan PH.

Beliau berharap, nilai terbaru bagi akhir Jun 2020 perlu disebarkan dan dikongsi di Parlimen.

“Laporan hutang dan liabiliti kerajaan berkala adalah penting sebagai sebahagian daripada usaha untuk beralih daripada asas tunai kepada akaun asas akruan yang lebih tulus dan komprehensif,” katanya.

Berhubung peningkatan kes pengangguran, beliau menyifatkannya sebagai satu perkara yang amat serius.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang pertambahan pinjaman kerajaan perlu mengambil kira langkah menyelamatkan pekerjaan mereka yang terlibat.

“Ini adalah amat penting. Apa gunanya kita belanjakan puluhan bilion kalau pekerjaan tidak boleh diselamatkan dan kalau perniagaan juga tidak boleh diselamatkan.

“Itu adalah rayuan dan juga harapan daripada semua pihak,” ujarnya. — Roketkini.com