Berita

Adun Rahang pilih kekal bersama DAP, ikrar berkhidmat untuk rakyat

Oleh Fatih Hassan Nordin

Adun Rahang, Mary Josephine hari ini menarik semula keputusan peletakan jawatan sebagai ahli DAP.

Ia diumumkan dalam satu sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook dan pemimpin veteran parti, Lim Kit Siang.

Menurut Mary, keputusan untuk kembali bersama DAP itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Anthony minggu lalu.

Malah, beliau mengakui berasa berat hati untuk meninggalkan parti yang telah menjadi wadah perjuangannya selama hampir 46 tahun.

“Terima kasih kepada DAP Malaysia kerana mempertimbangkan semula peletakan jawatan saya sebelum ini dan menerima semula saya untuk kembali ke dalam parti.”

Beliau dalam pada itu turut mengulas kecaman yang diterimanya selepas meninggalkan parti.

“Kepada mereka (yang mengecam saya), saya ingin mengucapkan terima kasih kerana kenyataan dan komen anda itu telah memperkuatkan lagi keyakinan dan kemahuan saya untuk menabur khidmat bakti kepada penduduk DUN Rahang,” katanya.

Berikutan perkembangan ini, Mary kini kembali menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan dan Setiausaha Organisasi Wanita DAP Kebangsaan.

Sementara itu, Anthony berkata keputusan Mary itu menghantar mesej yang jelas bahawa DAP Negeri Sembilan akan terus memainkan peranannya untuk memperkukuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.

“Ini juga memberi mesej yang kuat bahawa PH akan tetap stabil, malah kita bertekad dan yakin bahawa Kerajaan PH Negeri Sembilan akan terus memainkan peranan untuk mentadbir dan memerintah Negeri Sembilan sehingga akhir tempoh yang diberikan rakyat,” ujarnya.

Anthony berkata, sebagai Setiausaha Organisasi DAP, beliau tidak pernah menerima peletakan jawatan Mary dan amat mengetahui isi hati pemimpin wanita tersebut.

Adun Rahang, Mary Josephine (tengah); Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (kiri) dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

“Bagi saya beliau (Mary) tidak pernah meninggalkan DAP. Saya amat mengenali saudari Mary Josephine. Minggu lepas apabila saya berjumpa dengan beliau saya rasa sudah tentu beberapa hari ini beliau amat merindukan parti DAP.

“Dan beliau juga beritahu saya amat susah untuk beliau hidup secara gembira tanpa berada dalam DAP. Saya amat mengenali dan faham isi hati beliau.

“Itu sebabnya saya kata surat peletakan jawatan beliau tidak pernah diterima,” ujarnya.

Sementara itu, Kit Siang berkata kehadiran beliau dalam sidang media tersebut adalah untuk menunjukkan solidariti kepada Mary.

“Beliau merupakan pemimpin yang berdedikasi tinggi dan bekerja kuat.

“Apa-apa perbezaan atau pertikaian antara kita akan diselesaikan melalui saluran dalaman dengan semangat solidariti.

“Selamat kembali kepada Mary,” ujarnya. — Roketkini.com