Berita, Rencana

DAPSY Selangor bidas Saifuddin berhubung isu lesen Finas

Oleh Wong Siew Ki

(Adun Balakong dan Ketua DAPSY Selangor)

Sebagai seorang pembikin filem dokumentari dan juga wakil rakyat, saya berasa amat kecewa terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bahawa semua jenis pembikinan filem perlu mendapatkan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), termasuklah filem untuk kegunaan media sosial peribadi.

Kenyataan ini bukan sahaja menunjukkan kejahilan Menteri terhadap bidang pembikinan perfileman dan kebebasan bersuara, tetapi juga menunjukkan sifat gila kuasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang cuba mengawal secara tidak munasabah dan mendiamkan suara rakyat Malaysia.

Sedangkan kebanyakan filem pendek dan dokumentari banyak membantu untuk menyalurkan maklumat dan sisi kebenaran sesuatu isu yang ingin diketengahkan memandangkan kebanyakkan medium arus perdana hanya bersifat sebelah pihak sahaja. Dengan kenyataan beliau ini, bukan sahaja dokumentari dan filem akan dikawal, tetapi video pendek seperti “live”, Tik Tok, Insta Stories Dan sebagainya juga adalah diharamkan!

Malaysia merupakan negara demokratik dan sentiasa berbesar hati untuk terima segala pandangan dan idea berlainan.

Pandangan dan kritikan yang berasas dan munasbah adalah sesuatu yang amat berharga untuk membawa negara terus ke hadapan, ke arah kemajuan.

Malangnya, selepas kerajaan PN mengambil alih Kerajaan Persekutuan, Menteri yang baru masuk kerja ini tidak henti-henti memperbodohkan rakyat Malaysia dangan pelbagai cara.

Sekarang, menteri ini cuba menghalang dan mendiamkan suara rakyat dengan taktik mengharamkan segala filem kecuali filem yang dibenarkan mereka sahaja. Hal ini bukan sahaja menggari tangan semua pembikin filem, malah juga secara tidak langsung memenjarakan seluruh rakyat Malaysia dengan mengharamkan idea pemikiran, kebebasan bersuara dan menzahirkan pendapat.

Menteri dan pemimpin sebegini tidak layak memimpin negara kita, sebagai seorang rakyat yang hidup dalam sebuah negara yang demokrasi, hormat-menghormati dan berganding bahu untuk memajukan negara bersama, Menteri seperti Saifuddin tidak layak memimpin kita.

Dengan ini, saya mewakili DAPSY Selangor membantah sekeras-kerasnya tentang kenyataan salah guna kuasa ini. Bukan pihak kami sahaja, seluruh Malaysia akan membantah habis-habisan terhadap politikus yang cuba mendiamkan suara rakyat ini. — Roketkini.com