Berita, Rencana

Kerajaan Muhyiddin abai kebajikan rakyat

Jawapan lisan yang diberikan oleh Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rina Harun terhadap soalan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bukan saja tidak memuaskan, tetapi membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenepikan kebajikan rakyat.

Mantan Timbalan KPWKM itu meminta Rina menyatakan butiran berkaitan pertukaran Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Pengerusi LPPKN termasuk sebab pertukaran, perbandingan proses lantikan yang dibuat oleh mantan Menteri, gaji, elaun dan kelayakan mereka yang baru dilantik.

Rina menyatakan bahawa Kontrak Ketua Pegawai Eksekutif YKN ditamatkan berdasarkan asas menjaga kepentingan serta hala tuju pimpinan kerajaan baru. YKN juga dikatakan masih belum lagi mengenal pasti calon yang sesuai dan layak untuk menerajui YKN.

Menurut Hannah, sudah empat bulan telah berlalu, tetapi jawatan ini masih belum diisi. Sedangkan Datin Paduka Che Asmah ditamatkan jawatannya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika beliau sedang giat melancarkan Tabung Prihatin YKN-JKM Covid-19.

Berkenaan persoalan berkaitan pelantikan Pengerusi LPPKN yang terkini, Rina hanya menyatakan bahawa ia dibuat atas keperluan mendesak yang perlu dilaksanakan segera mengikut hala tuju Kerajaan baru. Malah, beliau memberi kepercayaan penuh pada pengerusi baru yang dilantik ini.

Apakah kerajaan hari ini tidak melihat kepentingan rakyat apabila pelantikan jawatan penting dalam memastikan kebajikan rakyat terbela dilewatkan? Mengapa Rina tidak menjelaskan persoalan-persoalan lain yang diutarakan? Apa yang cuba disembunyikan?

Hampir kesemua aspek tidak berjawab dan menerusi ciapan Hannah di Twitter, “sudah tentu sukar untuk menjawab soalan seperti ini apabila Kerajaan PN membuat lantikan sesuka hati menggantikan golongan profesional bagi memastikan sokongan majoriti buat PN dikekalkan.” — Roketkini.com