Berita

Sampai bila hendak tunggu pelantikan ahli PAC?

Oleh B. Suffian

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu dilantik segera, tegas Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Beliau memberitahu, sudah dua minggu Dewan Rakyat telah bersidang namun PAC masih belum lagi dapat berfungsi untuk meneruskan prosidingnya.

“Kita bagaikan masih belum nampak apa-apa cahaya. Atas satu alasan sahaja (iaitu) kerana pelantikan ahli-ahli baharu belum lagi dibuat.

“Sampai bila kita hendak tunggu untuk pelantikan-pelantikan ini? Sampai bila kita hendak tunggu sampai kesemua fungsi jawatankuasa-jawatankuasa ini boleh dipulihkan?

“Dan sampai bila kita hendak tunggu semua jawatankuasa ini terus dilumpuhkan oleh pentadbiran sekarang?” soalnya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong Di Dewan Rakyat hari ini.

Kah Woh memaklumkan, bagi pihak PAC, jawatankuasa itu masih ketinggalan (lagging) dalam kerja-kerjanya.

Jelasnya, terdapat tiga laporan PAC yang telah tersedia untuk pembentangan iaitu projek sistem kutipan cukai jalan dan rekod kemasukan kenderaan asing, projek sekolah sukan Malaysia Perlis serta projek penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau menegaskan, pada tahun lalu sejumlah 54 mesyuarat PAC telah dijalankan dan setakat hari ini untuk tahun 2020, hanya enam mesyuarat sahaja yang sempat dijalankan.

“Sama ada keadaan sebegini adalah sesuatu yang kita harap-harapkan di bawah kerajaan sekarang, ini satu persoalan besar.

“Tolonglah, lantik jawatankuasa penuh sekarang, jangan lagi berlengah,” katanya. — Roketkini.com