Berita, Rencana

Ancaman baru terhadap sistem demokrasi di Malaysia

Aliya Ashiqin

(AJK DAPSY Damansara)

Ancaman terhadap demokrasi di Malaysia bukanlah datang daripada bahaya luar seperti pengganas atau pemberontak tetapi lebih cenderung kepada peserta politik (political participants) dalam proses demokratik seperti pemimpin politik dan kumpulan yang memenangi pilihan raya.

Mereka mengambil-alih kuasa dan memusnahkan prinsip-prinsip demokrasi melalui kaedah-kaedah yang berbeza. Hal ini dapat dilihat melalui perspektif lensa peristiwa Langkah Sheraton di mana ketidakstabilan politik telah berlaku yang membawa kepada peralihan kuasa daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) melalui taktik “undemocratic” oleh beberapa pemimpin-pemimpin politik.

Beberapa negeri yang dimenangi oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu seperti Johor, Melaka dan baru-baru ini Sabah turut tumbang akibat daripada ahli-ahli politik yang melompat parti demi menubuhkan pakatan politik (political alliance) yang baru.

Pendirian Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat sebagai langkah berani dan demokratik apabila beliau memutuskan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memilih untuk mengadakan pilihan raya mengejut (snap election) serta mengembalikan hak memilih kepada rakyat Sabah demi mematahkan percubaan kerajaan pintu belakang daripada pihak tertentu. 

Isu kedua yang membawa kepada ancaman serius terhadap demokrasi di Malaysia apabila individu menggunakan kuasa dan kedudukan untuk memperoleh kepentingan sendiri dan kerjaya politiknya.

Isu pemberian serta pelantikan ahli-ahli politik di dalam syarikat/cawangan agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang samar-samar telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan persoalan semua lapisan masyarakat sivil.

Hal ini bukan sahaja membahayakan demokrasi malahan boleh disabitkan dengan kesalahan penyalahgunaan kuasa. Tambahan pula, penubuhan kerajaan melalui pintu belakang juga merupakan hasil yang dicapai melalui cara yang tidak demokratik di mana kerajaan ini bukanlah diangkat melalui proses pilihan raya sebenar tetapi berdasarkan ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab menukar serta melompat parti. 

Intipati yang terakhir mengenai bentuk ancaman terhadap demokrasi di Malaysia adalah penyekatan kebebasan sivil (civil liberties) dan hak berpolitik.

Hal ini dapat digambarkan secara jelas apabila ahli-ahli politik daripada pihak pembangkang, pengiat media (wartawan) dan beberapa aktivis diganggu oleh pihak tertentu dalam tempoh pemerintahan kerajaan baru.

Ruang kebebasan bersuara, berpolitik dan berhimpun telah digariskan dalam Perlembangaan Persekutuan yang merupakan tunggak asas demokrasi nasional seakan-akan terhakis apabila hak-hak dan kebebasan diberi telah dikawal dan diperhatikan. 

Kesimpulannya, ancaman-ancaman demokrasi terhadap negara kita perlu dipandang serius dan dipikul oleh semua pihak untuk menjamin kesejahteraan negara dan demokrasi yang dipelihara sejak sekian lamanya.

Akhir sekali, memetik ucapan Abraham Lincoln di Gettysburg, demokrasi adalah pemerintahan oleh, dan untuk rakyat. — Roketkini.com