Berita, Rencana

Sekarang masa untuk kita benar-benar bekerjasama

Shahrul Shahabudin

(Naib Setiausaha DAP Kubu, Melaka)

Sedar atau tidak, sudah lebih lima bulan sejak dari peristiwa Sheraton. Langkah Sheraton yang direncana oleh beberapa paksi dalam Pakatan Harapan (PH) dahulu menyebabkan runtuhnya Kerajaan PH selepas 22 bulan memerintah dan apa yang lebih penting berakhirnya episod kemenangan rakyat yang kita semua laungkan sebelum ini.

Dalam masa lima bulan ini, pelbagai peristiwa telah berlaku dan sebenarnya lebih banyak memeningkan kita semua berbanding memberikan hala tuju yang perlu kita semua jalani menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang boleh berlangsung bila-bila waktu sahaja.

Bayangkan usaha kita bagi mendapatkan kembali mandat rakyat dengan kembali menjadi kerajaan berterusan buntu apabila calon Perdana Menteri berterusan tidak ketemuan. Perkara ini sedikit sebanyak turut merunsingkan akar umbi setiap parti dalam PH Plus seperti Amanah, PKR, DAP dan BERSATU Blackout.

Dengan ketidaktentuan politik tanah air pada hari ini, sebenarnya PRU yang bakal diadakan tidak akan memberikan kestabilan dan sebuah kerajaan yang kuat seperti yang dicanangkan oleh Gramsci. Oleh yang demikian, sudah tentulah begitu mustahak bagi setiap akar umbi parti-parti PH Plus untuk kembali membina kerjasama yang kian longgar serta berganding bahu menjelang PRU15.

Oleh yang demikian, di peringkat akar umbi rasa sangsi dan marah sesama kita yang mungkin kita rasa pada hari ini perlu diredakan. Kita perlu membina jambatan yang utuh bagi memastikan kepercayaan dapat dibentuk serta seterusnya menjalinkan kerjasama setiap parti komponen PH yang bukan sahaja mantap namun turut berjaya memenangi pilihan raya yang akan datang dengan jumlah kerusi yang lebih banyak berbanding sebelum ini tidak kiralah di peringkat Persekutuan ataupun negeri.

Gerak kerja di peringkat akar umbi perlu bermula sekarang bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat. Jika kita semua dapat bersama-sama turun ke kampung-kampung dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik perhatian rakyat untuk kembali menyokong kita seperti pada tahun 2018. Marilah kita buktikan kepada rakyat bahawa kita benar-benar tulus bagi berkhidmat kepada mereka.

Kita semua perlu sedar siapa musuh kita yang sebenar dan tidak menyerang antara satu sama lain lagi. Sewaktu kem sebelah sana masih lagi haru biru sama ada ingin bernaung dengan nama Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional serta tidak mengabaikan Barisan Nasional, kita perlu mengambil kesempatan ini bagi mengukuhkan jalinan kerjasama kita dan bersiap sedia menghadapi PRU15 yang boleh berlangsung pada bila-bila masa sahaja.

Pada saat ini tenaga kita jangan dibazirkan dengan serangan tidak berhemah kepada rakan-rakan kita. Jangan biarkan perkelahian adik-beradik ini memenat dan mengkhayalkan kita yang menyebabkan kita semua hilang tumpuan bagi membangkitkan isu-isu mengenai ketidakupayaan kerajaan abah membantu ekonomi rakyat di saat pandemik Covid-19, kes mahkamah bossquer, ratusan kes mahkamah Presiden dan pemimpin UMNO serta ketidakupayaan PAS bagi memenuhi janji RUU 355 mereka selama ini. Gunakan peluru ini semua dan jangan sibuk sedekahkan peluru lagi kepada musuh.

Sudahlah, jangan lagi kita menghina sahabat-sahabat kita dari PKR, Amanah, DAP dan Warisan kerana mereka ini bukan musuh kita. Waspada pada serangan kem di sebelah sana dan kita sama-sama kukuhkan tekad kita bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi. — Roketkini.com