Berita, Rencana

‘Kerajaan PN tidak peduli prinsip kebebasan akhbar, maklumat’

Kenyataan Akhbar oleh Setiausaha Agung DAP merangkap ahli Parlimen Bagan, Saudara Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 5.8.2020

DAP mengecam tindakan kerajaan terhadap Al Jazeera, Astro dan Unifi TV kerana menyiarkan dokumentari tentang migran semasa Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19. Pihak Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang menyiasat Al Jazeera di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan sedemikian terhadap sebuah rangkaian berita antarabangsa akan mempunyai kesan yang buruk terhadap prinsip kebebasan akhbar dan maklumat serta ke atas profesionalisme pengamal media. Ini kerana, demi mengelak daripada tindakan perundangan di masa depan, pengamal media akan terpaksa mengamalkan tapisan kendiri (self censorship).

Keadaan ini sudah terbukti bukan setakat dalam media arus perdana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, malah dalam media bahasa Cina. Sebelum pertukaran Kerajaan Persekutuan, media arus perdana bahasa Cina utama akan memberikan ruang liputan yang lebih besar kepada parti-parti pembangkang berbanding kerajaan PH. Namun, selepas kerajaan PN mengambil alih, keadaan menjadi terbalik. Malah, beberapa orang wartawan kanan mereka memainkan peranan yang aktif mendukung dasar-dasar PN.

Tindakan menindas oleh kerajaan menunjukkan bahawa PN tidak mempedulikan prinsip kebebasan akhbar dan maklumat, dan mereka lebih berminat untuk membungkam suara alternatif bagi memaksa pematuhan dan mewujudkan iklim autoritarian yang tidak boleh menerima sebarang kritikan, waima pandangan yang bernas.

Kerajaan PN tidak memberi maklum balas kepada permintaan Al Jazeera untuk mendapatkan pandangan kerajaan, sebaliknya memilih untuk menghukum Al Jazeera, dan ini dilihat umum sebagai salahguna kuasa. Menteri Komunikasi dan Multimedia kini bagai sesumpah bertukar warna, apabila beliau secara terbuka menyokong tindakan menindas tersebut dan bukan kebebasan akhbar dan maklumat.

Demi kepentingan awam, kerajaan perlu menghentikan tindakan sedemikian serta merta jika PN betul-betul komited untuk mendukung demokrasi, akauntabiliti dan ketelusan.  — Roketkini.com